AS tiada sebarang niat tinggalkan rantau asia

AS tiada sebarang niat tinggalkan rantau asia

MARCO RUBIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Amerika Syarikat (AS) komited terhadap kerjasama strategik dengan rantau Asia-Pasifik meskipun dikritik mengenai isu tarif yang ditetapkan secara besar-besaran.

Setiausaha Negara AS, Marco Rubio berkata, bagaimanapun rantau ASEAN tetap menjadi tumpuan utama kepada dasar luar AS.

“Kami tidak mempunyai sebarang niat untuk meninggalkan (rantau Asia), sebaliknya mahu memperkukuh dan membina kerjasama sedia ada,” katanya memetik AFP.

Beliau berkata demikian ketika Mesyuarat Pasca Persidangan Menteri-Menteri Luar ASEAN bersama AS bersempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 dan mesyuarat berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.

Pertemuan Rubio bersama rakan sejawatnya dari Asia Tenggara bersempena lawatan sulungnya ke rantau ini sejak menyandang jawatan itu.

AMM Ke-58 dihadiri negara-negara anggota ASEAN serta rakan dialog seperti Australia, China, Kesatuan Eropah, Jepun, Russia, Korea Selatan dan lain-lain di Kuala Lumpur.

Lawatan Rubio yang turut memegang jawatan sebagai Penasihat Keselamatan Negara AS merupakan sebahagian usaha Washington untuk memperbaharui tumpuan terhadap rantau Indo-Pasifik, mengalihkan perhatian daripada konflik di Asia Barat dan Eropah yang sebelum ini banyak mengalih tumpuan pentadbiran Trump.

“Adalah pandangan kami yang kuat, dan juga realiti, bahawa abad ini dan masa hadapan 50 tahun akan datang sebahagian besarnya akan ditentukan di rantau ini.

“Apabila saya mendengar bahawa AS atau dunia mungkin terganggu dengan peristiwa di bahagian lain dunia, saya ingin katakan bahawa gangguan itu adalah mustahil,” kata Rubio kepada menteri-menteri Luar ASEAN seperti dilaporkan REUTERS.

Bagaimanapun, Rubio dijangka tetap berusaha memperkukuh hubungan AS dengan rakan dan sekutu yang semakin gusar dengan dasar tarif tersebut.

Beliau juga dijangka mengemukakan hujah bahawa AS masih merupakan rakan strategik yang lebih dipercayai berbanding China yang merupakan pesaing utama Washington di rantau ini.

Presiden AS, Donald Trump sebelum ini mengumumkan tarif import yang dikenakan ke atas beberapa negara, termasuk dalam kalangan negara ASEAN, bermula 1 Ogos ini.

Malaysia dikenakan tarif sebanyak 25 peratus, manakala Kemboja dan Thailand (36 peratus) serta Laos dan Myanmar sehingga 40 peratus.

Trump dilapor berkata, langkah itu perlu diambil untuk ‘melindungi industri tempatan AS’ daripada apa yang beliau sifatkan sebagai amalan perdagangan tidak adil oleh beberapa negara. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN