KLANG: Sektor pertanian negara dalam bidang agromakanan menyumbang RM45.5 bilion atau 11 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pada suku pertama tahun ini.
Sektor tersebut dilaporkan berkembang 0.1 peratus berbanding 10.9 dalam tempoh sama tahun lalu yang menyumbang sebanyak RM43.3 bilion kepada KDNK.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, daripada jumlah tersebut subsektor perkhidmatan makanan memberi sumbangan terbesar iaitu sebanyak RM22.1 bilion dan diikuti tanaman, ternakan dan perikanan yang menyumbang RM13.9 bilion.
“Ia kemudian diikuti subsektor makanan dan minuman sebanyak RM9.7 bilion. Walaupun angka itu masih belum memadai tetapi ia menjadi bukti kepada usaha dan kerja kuat kita semua. Kita semua tahu, sektor agromakanan bukan hanya soal ekonomi. Ia soal kelangsungan hidup.
“Soal yang berkaitan dengan perut rakyat dan juga soal masa depan negara. Oleh itu, kementerian akan sentiasa komited untuk memastikan sektor ini terus berkembang dengan subur dan mampan,” katanya ketika berucap pada Perasmian Penutupan Simposium Pengembangan Subsektor Tanaman Jabatan Pertanian 2025, hari ini.
Tambahnya, bagaimanapun dari segi kadar sara diri (SSR) bagi pengeluaran beras negara ini masih ketinggalan berbanding Indonesia yang dapat memenuhi 280 juta penduduk di sana dan dieksport ke negara lain.
“ Kita penduduk yang lebih sikit kira-kira 34 juta, kita hanya mencapai sekitar 65 peratus SSR. Itu cabaran untuk kita semua berusaha mencapai kadar SSR (lebih baik) pada masa hadapan,” ujarnya.
Jelas Mohamad, Malaysia hilang kira-kira 20,000 hektar tanah yang asalnya sawah padi kerana pemodenan apabila pemiliknya menukar status atau penggunaan tanah bagi tujuan perumahan atau pembangunan lain tanpa ada sebarang penggantian.
“Langkah kita ambil sekarang, iaitu (bagi) sawah-sawah terbiar di Melaka, Negeri Sembilan dan Johor kita pergiatkan untuk perusahaan sawah baharu termasuklah di Sarawak dan Sabah. Sebab kita tahu, kehilangan 20,000 hektar itu besar.
“Jadi, dengan juga pemodenan untuk peningkatan hasil, kita perluaskan (penggunaan teknologi) di kawasan sawah yang ada, kalau kita dapat tujuh tan metrik perhektar, kita sudah (capai sasaran) SSR. Tetapi sekarang empat hingga lima tan, tujuh atau lapan tan hanya ada di Sekinchan dan beberapa kawasan lain di Selangor,” katanya. – UTUSAN