Anwar perlu turun, rakyat sudah hilang keyakinan - Mukhriz - Utusan Malaysia

Anwar perlu turun, rakyat sudah hilang keyakinan – Mukhriz

MUKHRIZ MAHATHIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir mendakwa rakyat kini semakin hilang keyakinan terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan menyeru agar beliau meletakkan jawatan.

Berucap dalam Himpunan Turun Anwar yang berlangsung di Dataran Merdeka hari ini, Mukhriz berkata, keadaan negara berada dalam situasi membimbangkan dengan peningkatan kos sara hidup, pengurangan subsidi dan kelembapan pelaburan asing yang nyata membebankan rakyat.

“Negara kita bukan dalam keadaan baik seperti yang dicanang. Harga barang naik, minyak masak dan telur pun naik. Subsidi pula dikurangkan.

“Katanya nak lawan rasuah, tapi rasuah masih berlaku. Semasa kempen Pilihan Raya Umum Ke-15, apa yang dia tak janji. Bintang dan bulan pun dijanjikan. Katanya harga minyak nak turun, tapi sampai sekarang tak turun-turun,” katanya.

Dalam pada itu, Mukhriz turut membangkitkan isu hutang negara yang menurutnya kini mencecah RM1.3 trilion, bersamaan 65.9 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), hampir melebihi had statutori yang dibenarkan.

“Adakah Perdana Menteri ini mampu menyelesaikan masalah negara? Tak boleh. Yang dia tahu hanya menjelajah ke 35 buah negara. Tapi adakah pelaburan besar masuk ke Malaysia? Tak ada,” katanya lagi.

Menurut beliau, rakyat tidak lagi boleh bergantung harap kepada Anwar untuk memulihkan keadaan ekonomi dan mentadbir negara secara berkesan.

“Kita hanya ada satu pilihan, iaitu turun Anwar,” katanya.

Sementara itu, pihak penganjur dalam ucapannya mendakwa kehadiran peserta mencecah hampir 500,000 orang dan menjangka angka itu akan terus meningkat menjelang petang.

“Jangan terkejut jika media melaporkan hanya ada 10,000 yang datang. Kami menjangkakan kehadiran hari ini lebih 500,000,” katanya ketika berucap di pentas utama Dataran Merdeka.

Perhimpunan itu menyaksikan kehadiran ratusan ribu peserta yang berkumpul di empat lokasi berbeza sebelum berarak ke Dataran Merdeka sambil membawa sepanduk dan melaungkan slogan sebagai tanda bantahan terhadap kerajaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN