BENTONG: Projek mega Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) mencatat satu lagi detik bersejarah apabila Terowong Genting sepanjang 16.39 kilometer ditembusi sepenuhnya sekali gus menandakan tahap kemajuan projek kini mencecah 85 peratus.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, penembusan kedua-dua hala terowong yang merentasi Banjaran Titiwangsa dan menghubungkan Bentong, Pahang dengan Gombak, Selangor itu disifatkan sebagai antara pencapaian terbesar dalam pembinaan keseluruhan ECRL setakat ini.
“Terowong Genting ini merupakan struktur paling mencabar daripada keseluruhan 41 terowong yang dibina sepanjang laluan ECRL sejauh 665 kilometer yang menghubungkan Kota Bharu, Kelantan hingga Pelabuhan Klang, Selangor.
“Lebih istimewa, terowong ini dijangka menjadi terowong rel terpanjang di Asia Tenggara serta terowong rel dengan puncak tertinggi yang dibina di bawah banjaran setinggi lebih 750 meter,” katanya dalam sidang akhbar sempena Majlis Penembusan Terowong ECRL Genting di tapak projek Terowong Genting Jalan Lama Bentong-Karak di sini, hari ini.
Beliau berkata, Terowong Genting tersebut melibatkan kos serta risiko yang sangat tinggi, selain memerlukan kepakaran teknikal yang luar biasa.
Katanya, kerja-kerja pembinaan melibatkan aktiviti pengorekan berskala besar, pemasangan sistem keselamatan bawah tanah serta pemantauan geologi yang sangat kompleks kerana struktur tanah di Banjaran Titiwangsa tidak menentu dan berbahaya.
“Kita berdepan pelbagai cabaran teknikal sepanjang proses ini, namun pencapaian hari ini membuktikan komitmen tinggi semua pihak terlibat.
“Fasa seterusnya akan memfokuskan kepada pembinaan jejambat, pemasangan landasan dan kerja-kerja elektrifikasi yang dilaksanakan secara berperingkat,” jelasnya.
Anthony turut melahirkan keyakinan bahawa perkhidmatan tren ECRL bagi laluan Kota Bharu ke Gombak dapat beroperasi tepat pada jadual, iaitu menjelang Januari 2027, sementara jajaran kedua dari Gombak ke Pelabuhan Klang pula dijangka siap setahun kemudian.
Beliau turut mengiktiraf komitmen konsisten yang ditunjukkan oleh rakan strategik dari China yang menyumbang dari segi teknologi dan kepakaran menerusi kerjasama kerajaan ke kerajaan (G2G).
“Kita kekal optimis bahawa projek ini tidak akan mengalami sebarang kelewatan besar kerana setakat ini semuanya berjalan lancar mengikut perancangan.
“Sepanjang projek ini berjalan, pihak China menunjukkan disiplin tinggi, tidak pernah gagal dan sentiasa menepati tempoh masa yang ditetapkan,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, tindakan menggantung Lesen Vokasional untuk kenderaan awam (PSV) terhadap pemandu vas yang terlibat dalam kemalangan serius tidak dilakukan secara tergesa-gesa, sebaliknya hanya selepas siasatan menyeluruh dijalankan.
Katanya, langkah tegas itu bukan untuk menghukum secara sembarangan, sebaliknya bertujuan memastikan keselamatan pengguna jalan raya terus terpelihara.
“Kalau didapati melakukan kesalahan serius, lesen PSV boleh digantung, bukan lesen memandu mereka. Tapi hanya selepas siasatan lengkap dilakukan,” katanya.
Beliau berkata, selain penggantungan lesen, pemandu terlibat juga diwajibkan menjalani kursus semula atau refresher course sebelum dibenarkan kembali memandu.
“Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menggantung lesen PSV pemandu yang terlibat dalam kemalangan serius, selain mewajibkan mereka menjalani kursus semula bagi mendidik dan melatih semula sebelum dibenarkan kembali memandu.
” Langkah baharu itu juga dijangka mempercepat proses disiplin, berbanding sebelum ini susulan tindakan penggantungan lesen hanya boleh dilakukan selepas pemandu disabitkan kesalahan di mahkamah hingga menyebabkan proses tersebut mengambil masa yang lama, “katanya. – UTUSAN