Aniq Suhair idam trofi pelakon terbaik - Utusan Malaysia

Aniq Suhair idam trofi pelakon terbaik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lebih satu tahun menyepi, pelakon, Aniq Suhair kini sedia meneruskan semula kerjaya lakonannya.

Katanya, dia terlalu merindukan kerja depan kamera justeru kini terbuka hati untuk kembali aktif dalam bidang itu.

“Memang saya rindu nak berlakon. Sampai satu tahap macam gian pun ada.

“Alhamdulillah, sekarang sudah ada beberapa tawaran yang saya terima. Saya tidak akan sia-siakan.

“Saya akan buat yang terbaik. Kalau boleh, satu hari nanti saya pun mahu genggam anugerah pelakon terbaik,” katanya.

Aniq berkata demikian semasa sidang media drama Bos Nak Cuti terbitan A.Aida Production, baru-baru ini.

Aniq, 24, sebelum ini menghilang selepas dihimpit kontroversi apabila seorang wanita tampil membuat pendedahan kononnya dia dihamilkan pelakon tersebut.

Namun wanita berkenaan kemudian membuat permohonan maaf kerana mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadap Aniq.

Pelakon asal Selangor itu bagaimanapun bersyukur dan menyifatkan keputusannya berehat sementara sebelum ini sebagai tepat.

“Saya rasa tenang ketika berehat daripada dunia lakonan dan bersyukur kerana dapat memperbaiki hubungan dengan Allah S.W.T,” kongsinya.

Dalam masa yang sama Aniq memaklumkan sekarang ini juga sibuk menguruskan perniagaan makanan yang diasaskan keluarganya.

“Banyak komitmen saya buat masa ini. Sebab itu agak sukar untuk saya terima tawaran lakonan yang membabitkan tempoh penggambaran yang lama.

“Tapi jika ada masa terluang, saya tengok bagaimana keadaannya. Mungkin boleh dipertimbangkan,” ujarnya.

Drama Bos Nak Cuti yang turut dibintangi anak Datuk A.Aida, Azeva Natasha ditayangkan di saluran Salam HD 26 Julai lalu boleh ditonton secara percuma menerusi aplikasi Unifi TV.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN