SEPANG: Bekas Yang Dipertua Majlis Perbadaran Ampang Jaya (MPAJ), Dr Ani Ahmad mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi wanita pertama dilantik sebagai Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang).
Beliau menggantikan Datuk Abd Hamid Hussain yang dilantik sebagai Datuk Bandar Majlis Bandaraya Diraja Klang pada 2 Disember tahun lalu.
Bukan itu sahaja, sebelum ini, Dr Ani turut mencipta sejarah apabila dilantik wanita pertama menjawat jawatan Yang Dipertua MPAJ dalam tempoh 30 tahun PBT itu.
Dr Ani ketika ditemui berkata, beliau akan meneruskan misi MPSepang sedia ada dan menyasarkan tiga bulan untuk meneliti dan menangani masalah yang timbul di kawasan ini.
Beliau berkata, daerah Sepang berbeza dengan Ampang Jaya kerana kawasannya padat manakala, Sepang kira-kira 50 peratus kawasannya masih belum dibangunkan.
“Saya akan meneruskan visi MPSepang iaitu menjadikan kawasan Sepang sebagai kawasan hijau, mampan, bersih, kesediaan kemudahan teknologi maklumat dan lestari.
“Selain itu, kami juga akan memberikan tumpuan kepada beberapa aspek pelancongan dan melibatkan rakyat setempat dalam setiap agenda MPSepang,” katanya pada ketika ditemui pada majlis angkat sumpah di sini, semalam.
Katanya, beliau berikrar akan memberikan perkhidmatan terbaik kepada semua warga majlis dalam kawasan pentadbiran MPSepang.
Jelasnya lagi, beliau akui banyak perkara yang perlu diberi perhatian seperti isu lalat dan sampah haram yang kadangkala bukan datang dari kawasan ini untuk ditangani.
“Untuk tempoh sebulan pertama ini beri saya ruang untuk bekerja dan mengkaji dasar-dasar sediada bersama pegawai pengurusan di MPSepang,”katanya. – UTUSAN