Angkasa mohon RM10 juta dana SejaTi MADANI

Angkasa mohon RM10 juta dana SejaTi MADANI

ADLY Zahari (tengah) dan Abdul Fattah Abdullah (kiri) melepaskan benih ikan keli pada Majlis Peluncuran Projek Ternakan Ikan Air Tawar Koperasi Usahawan Alor Gajah di Jalan Kampung Rembia Tengah, Rembia, Melaka. UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH : Angkatan Koperasi Kebangsaan (Angkasa) telah memohon tambahan sebanyak 100 projek baharu di bawah Program Sejahtera Komuniti Madani (SejaTi MADANI) dengan dana bernilai RM10 juta untuk diagihkan kepada 16,000 ahli di seluruh negara.

Memuatkan artikel berkaitan…

Presidennya, Datuk Seri  Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, pihaknya telah mengemukakan permohonan tersebut kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mendapat kelulusan.

Menurutnya, permohonan tersebut dikemukakan ekoran Angkasa mendapat gesaan daripada ahli Angkasa dari seluruh negara yang mahu lebih banyak dana SejaTi MADANI dapat disalurkan bagi membolehkan mereka menjayakan aktiviti koperasi.

Beliau berkata, jika diluluskan projek tersebut Angkasa akan memberi fokus kepada pengeluaran makanan yang kini menjadi isu yang sedang dihadapi negara ekoran kekurangan bekalan bahan itu.

“Sebelum ini Angkasa telah diberikan 20 projek SejaTi MADANI oleh Perdana Menteri bernilai RM2 juta dan setakat ini empat telah disiapkan dengan jayanya manakala menunggu baki 16 lagi projek kini mencapai lebih daripada 80 peratus yang dijangka siap akhir tahun ini.

“Projek yang dilaksanakan terdiri daripada aktiviti pertanian, ada projek kitaran, pelancongan, tanaman dan kesihatan kita pantau dari aspek pengurusan bagi kelancaran  peluang yang disediakan menerusi inisiatif itu.

“Bagaimanapun, bagi permohonan projek baharu dana yang dipohon lebih spesifik kepada pengeluaran makanan secara tidak langsung dapat membantu kerajaan yang menghadapi masalah bahan makanan yang tidak mencukupi,” ujarnya kepada pemberita selepas Majlis Peluncuran Projek Ternakan Ikan Air Tawar (keli) oleh Koperasi Usahawan Alor Gajah yang telah disempurnakan Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari di Jalan Kampung Rembia Tengah di sini hari ini.

Mengulas lanjut Abdul Fatah berkata, projek yang diusahakan Koperasi Usahawan Alor Gajah adalah salah satu daripada 20 projek yang diberikan kerajaan kepada Angkasa Ogos tahun lalu.

Menurutnya, impak daripada projek SejaTi MADANI kepada koperasi dapat memperluaskan dalam bidang perniagaan, meningkatkan perolehan dan jualan serta dapat memberi manfaat kepada ahli-ahli.

“Sebelum ini ada ahli tidak ada kerja tetapi dengan adanya dana diberikan kepada koperasi sebanyak RM100,000 mereka dapat melibatkan diri dalam bidang ekonomi serta memberi manfaat kepada 10,000 ahli,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN