PUTRAJAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengambil tindakan tegas serta-merta terhadap seorang anggotanya susulan tular rakaman video yang memaparkan kenderaan jabatan itu dipandu secara tidak wajar di Simpang Pulai, Perak, hari ini.
Ketua Pengarahnya, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, pihaknya memandang serius insiden itu dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku, termasuk yang melibatkan pegawai dan kakitangannya sendiri.
“Tindakan serta-merta telah dikenakan ke atas anggota terbabit melibatkan tiga tindakan utama iaitu engeluaran notis saman kepada anggota yang memandu atas kesalahan memotong di garisan berkembar.
“Anggota itu turut dilarang memandu semua kenderaan jabatan dan arahan penggantungan tugas, termasuk penempatan semula anggota berkenaan ke jawatan kumpulan di Ibu Pejabat JPJ sehingga siasatan selesai,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, tular di media sosial rakaman video kenderaan JPJ dipandu dan memotong garisan berkembar sehingga nyaris berlaku kemalangan antara kenderaan bertentangan.
Menurut Aedy Fadly, JPJ turut melaksanakan siasatan lanjut bagi mengenal pasti sekiranya terdapat kesalahan-kesalahan lain yang dilakukan oleh anggota berkenaan.
Katanya, JPJ tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pengguna jalan raya, termasuk anggota serta kakitangan jabatan ini, yang melakukan kesalahan lalu lintas.
“JPJ turut merakamkan penghargaan kepada orang awam yang bertindak merakam dan menularkan insiden itu, sekali gus membantu penguatkuasaan undang-undang jalan raya,” katanya.
Orang ramai digalakkan untuk melaporkan sebarang salah laku jalan raya secara terus dan real-time menerusi Aplikasi MyJPJ, e-aduan@jpj atau e-mel ke [email protected] dengan menyertakan butiran lengkap aduan. – UTUSAN