SEORANG ulama berpengaruh dari Kelantan, Syeikh Wazir Che Awang Al-Makki Hafizahullah baru-baru ini menzahirkan harapan agar pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dikekalkan demi menjamin kesinambungan pembangunan Islam dan kestabilan ekonomi di negara ini.
Timbalan Pengerusi Jabhah Pondok Kelantan itu menyuarakan harapan tersebut di sebalik terdapat cubaan dan desakan pihak tertentu terutama pembangkang memaksa Perdana Menteri melepaskan jawatan menerusi Himpunan Turun Anwar di Kuala Lumpur, 26 Julai ini.
Kata Syeikh Wazir, perubahan kerajaan terlalu kerap sejak beberapa tahun kebelakangan ini bukan sahaja menggugat kestabilan ekonomi, malah turut memberi kesan kepada institusi pendidikan Islam seperti sekolah pondok.
“Kita di Malaysia ini, lima tahun satu kerajaan, kadang-kadang dua tahun atau setahun pun bertukar kerajaan. Dasar yang sering berubah menyebabkan pondok pun jadi lemah dan malap. Ekonomi pun merosot, ini bukan cara Islam,” katanya ketika menyampaikan ceramah dalam program Malaysia Bermunajat 2025 di Masjid Putra, Putrajaya baru-baru ini.
Penegasan tersebut secara tidak langsung memberi tamparan kepada pembangkang dalam meneruskan himpunan berkenaan, memandangkan seorang ulama berpengaruh juga tidak melihat sebarang usaha menjatuhkan kerajaan sebagai tindakan yang baik.
Sebarang cubaan menjatuhkan Anwar ketika ini hanya membuang masa dan tidak berfaedah memandangkan kerajaan Perpaduan masih kukuh dan Perdana Menteri juga mempunyai sokongan kuat di Parlimen jika diusulkan undi tidak percaya di Dewan Rakyat sekali pun.
Pasca Pilihan Raya Umum (PRU), 2018 sehingga 2022, kita sudah menyaksikan beberapa kali Perdana Menteri bertukar ganti dan lihat apa yang jadi pada masa itu, negara, ekonomi dan politik menjadi tidak stabil yang akhirnya memberi kesan kepada rakyat.
Banyak lagi perkara lebih penting yang perlu diberikan keutamaan khususnya dalam menangani kos sara hidup iaitu isu yang lebih dekat dengan rakyat secara keseluruhan.
Pembangkang perlu menjuarai isu yang lebih dekat dengan rakyat berbanding bermain naratif turunkan Perdana Menteri yang sememangnya agak mustahil untuk direalisasikan.
Jika merasakan Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar gagal, tunggulah sehingga Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) yang berbaki tidak sampai tiga tahun lagi untuk melakukan perubahan.
Ramai melihat, pentadbiran Anwar tidaklah seteruk mana seperti didakwa dan ia juga tidaklah terlalu sempurna, namun Perdana Menteri dilihat terus berusaha keras dalam memuaskan hati rakyat. Malah, beberapa isu berbangkit seperti krisis kehakiman sebelum ini juga berjaya diselesaikan dengan baik.
Dalam pada itu, Mursyidul Am, Datuk Hashim Jasin ketika bercakap kepada Utusan Malaysia pula melihat bahawa perhimpunan berkenaan penting sebagai isyarat rakyat menolak kerajaan pimpinan Perdana Menteri itu.
Kata Hashim, perhimpunan tersebut bukan bererti akan berlaku pertukaran Perdana Menteri tetapi sebagai usaha rakyat menyatakan bantahan menolak cara kepemimpinan Anwar.
Beliau justeru meminta rakyat hadir menyokong perhimpunan itu dan berkumpul secara aman dengan tidak melibatkan sebarang kekecohan.
“Rakyat semakin terhimpit dengan kos sara hidup, cukai dan sebagainya. Rakyat sudah tidak boleh terima dasar-dasar dibawa kerajaan hari ini,” katanya. – UTUSAN










