ALOR SETAR: Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melibatkan beberapa perkara termasuk penurunan harga petrol dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) disifatkan hanya untuk meredakan suhu panas politik.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, walaupun berterima kasih dengan pengumuman dibuat namun perkara itu dipercayai tidak akan menghalang rakyat untuk turun ke himpunan pada Sabtu ini.
Katanya, faktor orang ramai mahu ke Himpunan Turun Anwar itu bukan semata-mata berkaitan harga minyak tetapi banyak punca lain yang menimbulkan kemarahan rakyat.
“Saya dengar dia umum dulu ‘saya jadi (kerajaan) hari ni esok minyak turun’ sekarang dah tiga tahun turun juga sikit kan, Alhamdulillah terima kasih walaupun ambil masa tiga tahun.
“Saya fikir benda-benda ini akan diumum sempena Bajet 2026 pada Oktober nanti tetapi mungkin untuk meredakan kepanasan maka ditarik untuk diumum sekarang, itulah cara orang politik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan logo Sukan Kedah Darul Aman (Sukda) ke-7 2025 di sini, hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri mengumumkan harga petrol RON95 akan turun enam sen untuk rakyat kepada RM1.99 seliter sebelum akhir September ini.
Rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas pula akan menerima RM100 secara one-off melalui MyKad di bawah program SARA sempena Hari Kebangsaan pada 31 Ogos depan.
Perdana Menteri turut mengumumkan kadar tol di 10 lebuh raya akan kekal dan kerajaan akan menanggung kos lebih RM500 juta bagi membolehkan rakyat terus menikmati kadar tol yang sama.
Beliau turut mengisytiharkan 15 September depan sebagai hari kelepasan am tambahan bersempena sambutan Hari Malaysia tahun ini. – UTUSAN










