Akta Perubatan (Pindaan) 2024 berkuat kuasa hari ini

Akta Perubatan (Pindaan) 2024 berkuat kuasa hari ini

Klinik banjir
DZULKEFLY AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Peraturan-Peraturan Perubatan (Pindaan) 2025 dan penguatkuasaan Akta Perubatan (Pindaan) 2024 (Akta A1729) sebagai langkah penting dalam memperkukuh sistem perundangan kesihatan negara dengan mewujudkan kerangka jelas bagi pengiktirafan dan pendaftaran pakar perubatan berkuat kuasa hari ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pindaan ini  merupakan satu pencapaian penting dalam usaha berterusan KKM untuk memperkukuh tadbir urus, ketelusan dan keterangkuman dalam profesion perubatan negara.

Beliau berkata, pindaan ke atas Peraturan-Peraturan Perubatan ini menyediakan kerangka perundangan yang diperlukan untuk melaksanakan peruntukan dalam akta yang telah dipinda. 

“Ia mewujudkan laluan yang jelas dan konsisten bagi pengiktirafan serta pendaftaran pakar yang dilatih melalui program Parallel Pathway dan latihan kepakaran tempatan. 

“Pindaan ini akan memperjelas peranan dan tanggungjawab Majlis Perubatan Malaysia (MPM) dalam memastikan semua pengamal dengan kelayakan tertentu dinilai secara adil dan telus. 

“Selain itu, struktur dan keanggotaan MPM turut diperkukuh agar lebih setara dari segi komposisinya sesuai dengan status semasa tenaga kerja kesihatan, khususnya dalam sektor awam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, pindaan ini turut menyediakan asas perundangan yang kukuh bagi semua program latihan kepakaran tempatan bagi memastikan ia diiktiraf dan ditadbir dengan lebih teratur.

“Ini akan membolehkan pakar-pakar yang sebelum ini berada dalam ketidaktentuan untuk dinilai dan didaftarkan, seterusnya berkhidmat kepada rakyat dengan baik. 

“Pindaan ini juga akan meningkatkan akses kepada rawatan pakar yang berkualiti tinggi dan memperkukuh keyakinan awam kerana semua pakar yang berkhidmat dalam sistem kesihatan dinilai berdasarkan piawaian kompetensi yang konsisten tanpa mengira laluan latihan mereka,” katanya.

Tambah Dr Dzulkefly, pengurusan KKM akan terus berinteraksi dengan pihak berkepentingan, memperkasa inovasi dan melaksanakan reformasi yang memastikan sistem kesihatan kita kekal berdaya tahan, inklusif dan bersedia menghadapi masa hadapan. 

“Setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak antaranya persatuan perubatan seperti Academy of Medicine of Malaysia (AMM), The Malaysian Association for Thoracic & Cardiovascular Surgery (MATCVS), Majlis Professor Negara (MPN), Malaysian Medical Association (MMA) dan Malaysian Medical Council (MMC), institusi latihan, pakar perundangan dan rakan-rakan pembuat dasar yang telah menyumbang kepada reformasi penting ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN