PETALING JAYA: Kerap muncul dengan karya dan genre muzik yang segar lagi kreatif, penyanyi, Aisha Retno kini tampil dengan lagu terbaharu yang berjudul, Tak Adil.
Mengetengahkan genre pop rock, lagu tersebut telah dihasilkan oleh penyanyi berdarah kacukan Malaysia dan Indonesia itu sendiri bersama adiknya, Radi.
Menurut Aisha, Tak Adil secara tidak langsung menonjolkan sisi berbezanya dalam menyampaikan genre lagu di luar zon selesanya sepanjang bergelar penyanyi.
“Ini adalah era untuk saya bereksperimen dengan genre lagu yang berbeza. Saya ingin mengembangkan repertoire kerana itulah yang perlu saya lakukan sebagai penyanyi.
“Pada masa sama, saya sudah lama mengidamkan untuk tampil dengan lagu pop rock. Lebih menambah keterujaan saya, ini merupakan lagu pertama dalam album yang bakal saya lancarkan tidak lama lagi.
“Saya mahu memperlihatkan kebolehan saya membawa genre sebegini memandangkan ramai rakyat Malaysia menyukai lagu-lagu pop rock. Alhamdulillah, saya sangat gembira dengan sambutan awal yang diterima daripada peminat setakat ini,” katanya.
Tambah Aisha, lagu tersebut merupakan luahan isi hatinya yang melalui pelbagai fasa sukar sepanjang lima tahun menceburi industri hiburan serta kisah peribadinya sendiri.
“Sebenarnya ketidak adilan memang banyak berlaku dalam kehidupan seperti dalam pekerjaan, percintaan dan macam-macam lagi. Untuk lagu ini, saya sampaikan kisah cinta dan ketidak adilan yang saya sendiri pernah lalui.
“Sepanjang lima tahun ini, saya tempuh macam-macam dalam industri hiburan. Saya luahkan dengan jujur, ada kejadian yang pernah berlaku kepada saya sebelum ini, ianya memang tak adil.
“Selain itu, saya juga baru melalui fasa patah hati yang agak teruk, jadi saya satukan semua rasa amarah dan kesedihan dalam lagu ini. Memang tak adil jika satu pihak saja yang rasa sakit sedangkan pihak lagi satu tak rasa apa-apa,” jelasnya.
Mengakui lagu tersebut dihasilkan secara spontan dalam masa yang singkat bersama adiknya, Aisha berharap Tak Adil juga dapat dipertaruhkan dalam anugerah-anugerah besar seperti karya-karyanya sebelum ini.
“Saya tidak pernah meletakkan harapan besar terhadap sesebuah lagu yang saya lancarkan baik soal pertandingan atau anuguerah-anugerah besar. Apa yang saya harapkan adalah lagu ini dapat diterima ramai dahulu.
“Insya-Allah, kalau ada rezeki dan jika tiada halangan, barulah boleh difikirkan langkah seterusnya. Impian itu semestinya ada, tetapi saya serahkan saja kepada Tuhan,” ujarnya.
Lagu terbaharu hasil kerjasama Aisha Retno Entertainment dan Faithful Music itu telah dilancarkan secara rasmi pada Jumaat, 27 Jun 2025.
Orang ramai boleh mendengar Tak Adil menerusi seluruh platform penstriman digital serta menonton video muziknya di YouTube.-UTUSAN