KUALA NERUS: Penyertaan mana-mana individu dalam Himpunan Turun Anwar di ibu negara hari ini adalah atas kapasiti peribadi dan tidak mencerminkan pendirian rasmi UMNO.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, UMNO tidak pernah terbabit dengan mana-mana perhimpunan yang dianjurkan pembangkang malah kekal konsisten dengan pendirian untuk tidak menyokong sebarang agenda yang boleh menjejaskan kestabilan Kerajaan Perpaduan.
“Saya tak jangkakan pun ada ahli UMNO yang turun. Tapi kalau ada pun, itu mungkin minoriti yang saja-saja nak seronok. Mereka ini orang yang tak tahu hujung pangkal. Itu bukan agenda parti, bukan agenda UMNO. Ia agenda pembangkang,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Nerus, di sini hari ini.
Terdahulu, UMNO secara tegas melarang mana-mana ahlinya daripada menyertai perhimpunan tersebut serta menasihatkan mereka supaya tidak mudah terpengaruh dengan provokasi politik yang boleh mencetuskan ketegangan.
Mohamad berkata, UMNO kini memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha memperkukuh parti menjelang pilihan raya umum akan datang, selain memelihara keharmonian dalam kalangan ahli.
Beliau turut menegaskan bahawa UMNO tidak bercadang untuk mengambil tindakan disiplin terhadap mana-mana ahli yang terlibat dengan perhimpunan itu kerana pendekatan terlalu keras dikhuatiri boleh menjejaskan hubungan dengan akar umbi.
“Sekiranya ada (ahli yang turun), tak payahlah kita ambil tindakan. Asyik-asyik nak ambil tindakan, nanti orang marah dengan UMNO,” katanya.
Sementara itu, beliau menyeru ahli-ahli UMNO supaya terus mengutamakan perpaduan dan mengelakkan perpecahan dalaman yang boleh melemahkan kekuatan parti itu menjelang cabaran politik akan datang.
Beliau berkata, parti politik yang sering berdepan konflik dalaman sukar untuk meraih keyakinan serta sokongan rakyat.
“Keharmonian dalam parti amat penting bagi membolehkan UMNO kembali mendapat kepercayaan masyarakat. Parti yang sentiasa sahaja ahlinya bergaduh tidak akan disokong. Tidak ada yang akan sokong mana-mana parti yang anggotanya, terutama pemimpin, berbalah. Alhamdulillah, UMNO sekarang dilihat lebih harmoni,” katanya ketika berucap dalam majlis itu.
Mohamad turut menegaskan fokus utama ketika ini adalah untuk memperkemas jentera parti serta memelihara hubungan baik dalam kalangan ahli bagi memastikan UMNO kekal sebagai parti yang bersatu dan bersedia menghadapi sebarang cabaran politik. – UTUSAN











