PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim rasa kagum terhadap peserta Pertandingan Akhir Bahas Piala Perdana Menteri ke-50 2025 yang berbahas dengan fasih, berani, bijak mengolah fakta serta berhujah penuh berhemah.
Oleh itu, beliau menyarankan agar Ahli Parlimen di Dewan Rakyat untuk belajar ilmu debat dengan pendebat sekolah.
“Saya bangga sekali akan tahap perbahasan dan saya renung sekejap, apa salahnya Ahli Parlimen belajar, iaitu pertama kalau nak berbahas perlu kuasai ilmu, hadam, olah dan sampaikan.
“Anak-anak ini tunjuk tahap perbahasan hebat dan saya tabik (bangga).
“Perdebatan ini bukan sekadar kepintaran berbicara, tetapi juga keupayaan untuk menguasai, menelaah, menghadam dan melontarkan (isu). Sebab itu saya rasa perkara itu yang perlu dipelajari (dicontohi) oleh Ahli Parlimen,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Pertandingan Akhir Bahasa Piala Perdana Menteri Ke-50 Tahun 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, di sini, hari ini.
Anwar turut memuji generasi pelajar kini yang menunjukkan penguasaan bahasa Melayu yang tinggi serta berbahas dengan penuh ilmu dan kefahaman.-UTUSAN











