PUTRAJAYA: Ahli-ahli Badan Peguam Malaysia memulakan Perarakan Membela Kebebasan Kehakiman kira-kira pukul 2.30 petang ini dari Istana Kehakiman menuju ke Pejabat Perdana Menteri di sini.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati kumpulan berkenaan mula berkumpul berhampiran Istana Kehakiman sejak pukul 1.30 tengah hari sambil membawa pelbagai plakad.
Ketika sedang berhimpun, ahli Badan Peguam Malaysia mula melaungkan ‘bebas kehakiman’ menggunakan pembesar suara sambil disambut oleh peserta perarakan.
Perarakan sejauh 2.6 kilometer itu dijangka berakhir dengan penyerahan memorandum mengandungi empat tuntutan kepada Pejabat Perdana Menteri.
Tuntutan itu termasuk mengisi kekosongan jawatan tertinggi kehakiman, mendedahkan minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) baru-baru ini, membentuk Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat campur tangan kehakiman dan menangani kekosongan keseluruhan kehakiman.
Presiden Badan Peguam Malaysia, Mohamad Ezri Abdul Wahab dalam kenyataan pada 9 Julai lalu berkata, perarakan itu bukan mengenai individu tertentu, sebaliknya demi integriti institusi kehakiman. – UTUSAN