PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim mencemar duli menyantuni rakyat ketika berangkat ke Taman Botani Perdana di ibu negara, pagi ini.
Menerusi hantaran di akaun Facebook, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Seri Paduka Baginda dilaporkan tiba sekitar pukul 7 pagi dan meluangkan masa beramah mesra serta berinteraksi dengan orang ramai yang sedang bersenam dan bersantai sempena cuti hujung minggu.
Turut mencuri perhatian ialah keakraban dan kemesraan baginda yang tidak kekok menyapa rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat tanpa sebarang protokol rasmi.
Rata-rata pengunjung taman tidak melepaskan peluang untuk merakam gambar kenangan bersama Seri Paduka Baginda yang turut berjalan kaki mengelilingi kawasan taman. – UTUSAN