PETALING JAYA: Tan Sri Abdul Rashid Hussain dilantik sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ke-10, hari ini.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memaklumkan pelantikan itu dibuat atas perkenan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar selaku Ketua Perlembagaan UIAM.
Katanya, pelantikan itu adalah bagi tempoh tiga tahun berkuat kuasa hari ini hingga 30 Jun 2028 bagi menggantikan Tan Sri Samsudin Osman yang tamat tempoh pelantikan pada 30 Jun lalu.
“Pelantikan Abdul Rashid adalah berdasarkan kepada ketokohan dan kewibawaan beliau dalam sektor korporat negara terutama dalam bidang kewangan Islam.
“Beliau merupakan pengasas kepada Kumpulan Perbankan Rashid Hussain Berhad (RHB) dan kini memegang jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Tabung Haji sejak 2023.
“Beliau juga bukanlah orang baharu dalam bidang pendidikan tinggi apabila dilantik sebagai Ahli Lembaga Gabenor UIAM pada 2018 hingga kini dan turut menyandang jawatan Pro-Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka mulai 2024,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut KPT, pihaknya yakin dengan pelantikan Abdul Rashid akan memperkukuh lagi peranan UIAM sebagai pusat kecemerlangan ilmu yang berteraskan nilai-nilai Islam.
Katanya, pelantikan itu juga sekali gus dapat meningkatkan keterlihatan dan daya saing universiti itu di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
“Kementerian turut mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi- tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Samsudin atas jasa bakti beliau sebagai Presiden UIAM sebelum ini,” katanya.-UTUSAN