AADK lancar modul rawatan dan pemulihan baharu - Utusan Malaysia

AADK lancar modul rawatan dan pemulihan baharu

RUSLIN Jusoh melancarkan Modul Rawatan dan Pemulihan AADK yang baharu sempena Program Hari Terbuka AADK di PUSPEN Serdang, Kedah hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) melancarkan modul rawatan dan pemulihan baharu yang menekankan pendekatan holistik, lebih mesra klien serta berasaskan bukti.

Ketua Pengarah AADK, Datuk Ruslin Jusoh berkata, pelancaran modul tersebut mencerminkan komitmen AADK untuk terus responsif terhadap perubahan landskap penagihan, terutamanya melibatkan dadah sintetik dan bahan psikoaktif baharu.

Katanya, modul baharu tersebut dijangka menjadi pemacu kepada agenda Malaysia Madani dalam memperkukuh kesejahteraan komuniti melalui intervensi yang lebih berkesan dan inklusif melalui pendekatan rawatan dan pemulihan yang lebih holistik serta manusiawi.

“Peluncuran modul baharu ini sebagai satu langkah besar AADK untuk memastikan kaedah dan pendekatan rawatan dan pemulihan sentiasa relevan dan mengikut perubahan semasa khususnya membabitkan isu penagihan jenis dadah.

“Tambahan pula, modul ini dirangka dengan kerjasama semua pihak merangkumi pendekatan bersepadu biospsikososialspiritual dan kaedah rawatan dan pemulihan berasaskan bukti.

“Selain itu, strategi pemulihan secara berfasa yang menekankan pemerkasaan kendiri, sokongan komuniti, pekerjaan, kemahiran dan integrasi semula di dalam masyarakat turut dikemaskini dalam modul baharu ini sekali gus menjadikan modul ini sebagai panduan kepada pegawai pemulihan AADK untuk menjalankan tugas secara profesional dan konsisten,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Hari Terbuka AADK di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Serdang, Kedah di sini hari ini.

Program berkenaan diadakan bertujuan memberi informasi berkaitan perkhidmatan terkini AADK kepada semua pelanggan khususnya dalam tiga bidang teras agensi iaitu pencegahan, rawatan dan pemulihan serta penguatkuasaan.

“Dengan adanya Hari Terbuka AADK, secara tidak langsung dapat memberi peluang kepada masyarakat melihat sendiri pendekatan program rawatan dan pemulihan yang digunakan oleh AADK menerusi Model i-Pulih AADK dalam membantu klien kembali ke pangkal jalan.

“Pendekatan program rawatan dan pemulihan yang diketengahkan AADK juga bersifat rehabilitatif dengan memberikan sokongan psikologi, pendidikan, dan latihan kemahiran bertujuan membantu klien kembali kepada masyarakat secara produktif serta bukan bersifat menghukum,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN