PETALING JAYA: Seramai enam pelajar Tingkatan lima Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di Melaka digantung dan dicadangkan untuk dibuang sekolah selepas didakwa terlibat dalam kes buli.
Perkara itu dimaklumkan oleh Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menerusi hantaran di laman Facebook rasmi beliau hari ini.
Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan maklumat lanjut mengenai insiden buli tersebut mahupun MRSM yang terlibat.
“Pagi-pagi lagi ramai yang tag saya berkenaan insiden buli yang berlaku di salah sebuah MRSM di Melaka.
“Terus saya minta laporan daripada pengurusan MARA. Enam pelajar Tingkatan Lima terlibat, telah digantung dan dicadangkan untuk dibuang. Tak perlu merayu. #YouTouchYouGo,” katanya.
Sebelum ini, tular di aplikasi media sosial Thread seorang pelajar MRSM dibuli secara beramai-ramai sehingga terpaksa keluar dari institusi itu kerana diganggu secara fizikal dan mental.
Kata Asyraf Wajdi, pihaknya bukan sahaja tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk salah laku buli, malah sebarang rayuan tidak akan dilayan.
“Tidak perlu bersusah payah untuk berjumpa saya bagi membuat rayuan. Sudah banyak kali saya tegaskan, Mara tidak akan bertolak ansur dalam kes buli.
“Mara memikul amanah besar dalam melahirkan generasi pemimpin yang berakhlak dan beradab, bukannya petualang yang merosakkan nilai keagamaan serta ketamadunan.
“Saya berazam menjadikan MRSM dan semua institusi pendidikan MARA sebagai zon bebas buli, Insya-Allah,” katanya. – UTUSAN







