SEPANG: Seramai 198 warga asing yang cuba memasuki negara tanpa tujuan yang sah telah ditahan dan diarahkan pulang serta-merta oleh pasukan Agensi Kawalan Pekerja Sempadan (AKPS) dalam operasi bersepadu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.
Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Shuhaily Mohd Zain berkata, saringan ketat yang dijalankan sejak awal pagi oleh Komander KLIA Terminal 1 dan 2 berjaya mengekang kemasukan beramai-ramai individu mencurigakan yang tidak memiliki wang mencukupi, tiada tempahan penginapan serta gagal menunjukkan hala tuju sepanjang berada di Malaysia.
“Antara yang ditahan ialah 123 warga Bangladesh, dua warga Pakistan, seorang Syria dan dua warga Indonesia di Terminal 1.
“Sementara di Terminal 2, kita tahan 70 lagi, melibatkan warga India, Pakistan, Vietnam dan Indonesia. Kesemua mereka akan dihantar pulang oleh syarikat penerbangan masing-masing mengikut dasar ‘Not To Land’,” katanya dalam sidang akhbar khas di KLIA, malam ini.
Tambahnya, taktik sindiket kini semakin licik apabila warga asing yang cuba masuk dibekalkan dengan gambar pegawai penguat kuasa Malaysia, dipercayai bagi membolehkan mereka mengelak kawalan AKPS yang semakin tegas.
“Kami dapati ada antara yang ditahan menyimpan gambar pegawai kami di telefon bimbit. Ini menunjukkan sindiket di luar negara telah memberi latihan dan maklumat dalaman tentang siapa yang patut dielak sebaik tiba di Malaysia,” tegas beliau.
Terdahulu, seorang pegawai penguat kuasa ditahan di Terminal 1, KLIA hari ini, kerana disyaki terbabit dalam kegiatan salah laku ‘counter setting’ dengan menemuka wang tunai berjumlah RM8,391.45, tiga peranti komunikasi serta beberapa catatan nombor pasport turut dalam simpanan pegawai lelaki itu ketika ditahan.
Hasil siasatan awal mendapati catatan yang ditemukan itu mengandungi empat digit terakhir nombor pasport, yang dipercayai berkaitan dengan aktiviti mengatur laluan keluar masuk individu secara tidak sah.
Pegawai berkenaan pada mulanya diserahkan kepada Unit Integriti AKPS KLIA untuk siasatan dalaman sebelum diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor untuk tindakan lanjut.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan bahawa kekangan dari segi peraturan perkhidmatan awam menyukarkan tindakan segera diambil terhadap penjawat awam yang terlibat dalam salah laku.
“Biarpun kita mahu menamatkan perkhidmatan serta-merta, kita terikat dengan proses panjang seperti prosedur tata tertib dan peluang membela diri. Pegawai yang ditahan pagi tadi baru berkhidmat empat tahun dan masih ada 30 tahun lagi dalam perkhidmatan. Ini cabaran utama dalam membanteras elemen dalaman yang bocor,” ujarnya.
Pada masa sama, menurutnya, operasi ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan AKPS untuk memerangi ‘counter setting’ iaitu penempatan individu atau sindiket tertentu di kaunter-kaunter imigresen bagi meloloskan kemasukan warga asing secara haram.
“Sindiket bukan hanya beroperasi dari luar negara, tetapi kemungkinan wujud kerjasama dengan ejen tempatan juga tidak boleh dinafikan. Ini bukan perkara baharu. Tapi kami komited untuk pastikan ia dihentikan di sini,” katanya.
Tambah beliau, pemutihan dan penyusunan semula dasar pengambilan anggota daripada pelbagai agensi lama seperti Imigresen dan Kastam sedang dirancang agar hanya mereka yang bebas rekod dan bersih sahaja diberi kepercayaan mengawal sempadan negara. – UTUSAN