SEPANG: Cubaan seramai 141 pelawat asing untuk memasuki Malaysia secara haram dengan menyalahgunakan kemudahan transit berjaya dipatahkan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (AKPS KLIA) di Terminal 2 baru-baru ini.
Menerusi operasi pemantauan khas yang dibuat dari 12 hingga 14 Julai lalu, AKPS turut mengenakan Notis Penolakan Masuk (NPM) terhadap 94 warganegara India, 41 warga Indonesia, tiga dari Sri Lanka dan tiga dari Pakistan.
AKPS berkata, siasatan mendapati mereka menggunakan pelbagai taktik licik untuk mengelirukan pihak berkuasa.
“Modus operandi utama mereka adalah dengan menempah tiket penerbangan sambungan ke negara ketiga untuk memberi gambaran mereka adalah penumpang transit tulen.
“Namun, mereka tidak berniat untuk meneruskan perjalanan tersebut.
“Sebahagian daripada mereka juga cuba keluar dari balai pelepasan transit dengan memberi
pelbagai alasan seperti masalah kesihatan, kehilangan tiket atau isu bagasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain itu, ada juga yang warga asing dikesan memohon Pas Khas (Special Pass) tetapi kemudiannya menyalahgunakannya untuk tinggal lebih masa di dalam negara.
“Kejayaan operasi ini adalah hasil pemeriksaan rapi oleh pegawai penguat kuasa yang meneliti dokumen perjalanan, menyemak sejarah perjalanan lampau dan menjalankan temu bual mendalam terhadap pelawat yang menunjukkan tingkah laku mencurigakan dan tidak konsisten.
“Kesemua yang dikenal pasti kini dalam proses untuk dihantar pulang menggunakan penerbangan terawal yang tersedia,” katanya.
Susulan insiden ini, AKPS telah memperketatkan kawalan di semua zon transit antarabangsa dan mengoptimumkan penggunaan sistem televisyen litar tertutup (CCTV) bagi membanteras sebarang cubaan bolos pada masa hadapan.
“AKPS menegaskan bahawa Malaysia sentiasa mengalu-alukan kedatangan pelawat antarabangsa yang sah, namun tidak akan berkompromi terhadap sebarang cubaan mengeksploitasi sistem kawalan sempadan negara,” jelasnya.