1,083 babi positif ASF telah dilupus - JPV Pulau Pinang

1,083 babi positif ASF telah dilupus – JPV Pulau Pinang

DR. Saira Banu (tengah) ketika ditemui semasa menghadiri Majlis Penutup Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Pulau Pinang di Kepala Batas, Pulau Pinang.-UTUSAN/SITI NUR MAS ERAH AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPALA BATAS : Sebanyak 1,083 ekor babi yang dijangkiti wabak Demam Babi Afrika (ASF) di dua ladang ternakan babi di Tasek Gelugor di sini telah dilupuskan.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Pulau Pinang, Dr Saira Banu Mohamed Rejab berkata, kesemua babi di dua ladang tersebut telah dilupuskan di tanah milik penternak masing-masing.

Katanya, ketika ini, terdapat satu lagi ladang ternakan babi yang dikesan positif wabak berkenaan di kawasan itu sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan ladang ternakan yang dijangkiti ASF setakat ini telah meningkat kepada empat.

Beliau berkata, proses pelupusan babi yang dijangkiti wabak tersebut di dua lagi ladang ternakan dijangka dilaksanakan esok di tanah kerajaan berdekatan kawasan terbabit.

“Pelupusan untuk ladang ketiga dan keempat ini akan dibuat dengan sangat berhati-hati kerana kawasan ini agak berisiko dan kita tidak mahu jangkitan merebak ke ladang lain.

“Selain itu, kita masih belum dapat menganggarkan jumlah kerugian yang dialami penternak akibat pelupusan ternakan yang dijangkiti.

“Ini adalah kerana apabila ia (babi itu) dikesan positif dijangkiti ASF, semua ternakan terpaksa dilupuskan dan kita kena lihat dulu berapa jumlah ternakan yang ada di ladang berkenaan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Penutup Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Pulau Pinang yang dirasmikan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow di Institut MARDI, hari ini.

Untuk rekod, di Tasek Gelugor sahaja khususnya di Kampung Selamat terdapat 63 ladang ternakan babi dengan anggaran 120,000 babi ditempatkan di situ.

Terdahulu iaitu pada 12 Julai lalu, tiga ladang ternakan babi di Kampung Selamat, dekat sini dikesan positif wabak ASF berdasarkan keputusan ujian makmal oleh Makmal Veterinar Zon Utara.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN