Zairil optimis projek terowong bantu pertumbuhan ekonomi P.Pinang - Utusan Malaysia

Zairil optimis projek terowong bantu pertumbuhan ekonomi P.Pinang

PENGERUSI Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan Pulau Pinang, Zairil Khir Johari
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Kerajaan Pulau Pinang kekal optimis terhadap cadangan pelaksanaan projek terowong dasar laut walaupun belum membuat sebarang keputusan muktamad.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan Pulau Pinang, Zairil Khir Johari berkata, bagaimanapun cadangan itu masih tertakluk kepada hasil kajian kebolehlaksanaan yang sedang dijalankan.

Malah, katanya, kerajaan negeri turut mempertimbangkan pilihan membina jambatan ketiga sebagai alternatif sekiranya reka bentuk terowong tidak sesuai.

“Perbincangan sedang dijalankan antara kontraktor dan pihak-pihak berkepentingan seperti pelabuhan untuk menilai sama ada terowong atau jambatan lebih praktikal.

“Laluan ketiga ini, sama ada jambatan baharu atau terowong, masih relevan dalam perancangan pembangunan negeri,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Tambah Zairil, projek tersebut mampu mengurangkan tekanan trafik terutama di Jambatan Pulau Pinang pertama serta memberi akses terus antara George Town dan Butterworth.

Beliau turut menegaskan bahawa terowong dasar laut mampu memberi kesan positif kepada pertumbuhan ekonomi negeri dan kesejahteraan rakyat.

Dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini, Zairil berkata, projek tersebut juga berpotensi mengurangkan kesesakan kronik yang sering berlaku di laluan utama antara pulau dan tanah besar.

Sementara itu, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow sebelum ini menjelaskan bahawa kerajaan negeri masih menunggu cadangan daripada Jawatankuasa Pemandu Pulau Pinang sebelum membuat keputusan muktamad mengenai pelaksanaan projek yang menghubungkan Persiaran Gurney ke Bagan Ajam itu.

Projek infrastruktur berskala besar ini dilihat sebagai antara solusi jangka panjang kepada isu mobiliti dan kesesakan di Pulau Pinang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN