PETALING JAYA: Penyanyi, Yasin Sulaiman dilihat semakin sihat dan ceria selepas mendapat rawatan pemulihan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan.
Keadaan terkini penyanyi itu telah dikongsikan oleh Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan iaitu Muhammad Kamil Abdul Munim ketika menziarahinya di hospital berkenaan, semalam.
“Diberi kesempatan untuk menziarahi sahabat yang juga seorang pejuang, saudara Yasin Sulaiman yang kini berada di Hospital Bahagia, Tanjung Rambutan (Perak),” katanya dalam perkongsian di Instagram mliknya.
Dalam perkongsian sama, Kamil memaklumkan kunjungan tersebut dilakukan selepas terlibat dalam beberapa program komuniti di kawasan Parlimen Tambun, mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Malah, Kamil turut menyelitkan beberapa rangkap lagu Sepi Perantau yang pernah dipopularkan oleh Yasin ketika bersama kumpulan Brothers.
Melihat sosok tubuh Yasin yang semakin berisi berbanding sebelumnya, rata-rata warganet meluahkan rasa syukur bahkan mendoakan agar segala urusan penyanyi itu dipermudahkan.
“Alhamdulillah, beliau (Yasin) sihat walafiat,” komen seorang warganet.
“Apabila diletakkan dan dirawat di tempat yang betul, Alhamdulillah, sihat di Hospital Bahagia berbanding di penjara. Di penjara kesihatan beliau terlalu merosot. Terima kasih pada kerajaan yang prihatin kepada Yasin,” kata seorang lagi pengguna media sosial.
Terdahulu, Yasin pernah kehilangan berat badan sebanyak 18 kilogram (kg) kerana menghidap penyakit tiroid sewaktu ditahan di penjara sejak November 2022
Yasin dipenjara selepas didakwa memiliki dadah berbahaya jenis Kanabis seberat 193.7 gram di sebuah kondominium di Kota Damansara pada 24 Mac 2022.
Penyanyi lagu Mimpi Laila itu turut didakwa menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah yang mana daripadanya Kanabis dan memberikan dirinya dadah berbahaya
Pada 28 April lalu, Mahkamah Rayuan Putrajaya membebaskan pemilik nama penuh, Muhammad Yasin Sulaiman daripada hukuman penjara seumur hidup dan enam sebatan atas atas tiga kesalahan berkaitan dadah.
Bagaimanapun, penyanyi yang berusia 50 tahun itu akan dihantar Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak selama mana tempoh yang diperkenankan Sultan Selangor sebagaimana yang diperintahkan oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya.-UTUSAN