XM Global sumbang AS$15,000 bantu baik pulih Rumah Kasih Harmoni

XM Global sumbang AS$15,000 bantu baik pulih Rumah Kasih Harmoni

Wakil XM Global bersama penghuni Rumah Kasih Harmoni di Paya Jaras, Sungai Buloh selepas menyerahkan bantuan untuk baik pulih rumah kebajikan itu. - UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI BULOH: Syarikat broker kewangan antarabangsa, XM Global menyumbang AS$15,000 (RM70,000) kepada Rumah Kasih Harmoni di Paya Jaras sebagai sebahagian inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) sempena ulang tahun ke-15 syarikat itu.

Dana tersebut digunakan untuk kerja-kerja baik pulih fasiliti termasuk bilik bayi, perpustakaan mini, sistem paip, tandas kanak-kanak dan pemasangan panel solar bagi menjimatkan kos elektrik rumah amal berkenaan.

Wakil XM Global memaklumkan, rumah kebajikan itu dipilih selepas mendapati terdapat kekurangan kemudahan asas penting serta kekangan dana operasi yang membebani pihak pengurusan rumah.

“Antara projek utama kami adalah menyediakan bilik bayi supaya bayi dapat ditempatkan di bilik yang selamat, termasuk siling rosak. Kami juga naik taraf perpustakaan dengan membeli buku, meja, kerusi dan almari baharu,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, paip luar di kawasan asrama lelaki yang sudah berkarat turut diganti, manakala dua unit pendingin hawa mudah alih serta gazebo dibina bagi memberi keselesaan kepada penghuni rumah.

“Kami juga bantu pasang panel solar kerana bil elektrik sangat tinggi. Dengan penggunaan solar, dapat jimat sehingga 50 peratus,” ujarnya.

Rumah Kasih Harmoni yang ditubuhkan sejak 2007 menempatkan seramai 120 penghuni terdiri daripada anak-anak yatim, yatim piatu dan asnaf di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Pengetuanya, Jamaluddin Wahab berkata, sumbangan XM Global sangat bermakna kerana berjaya menghidupkan semula beberapa kemudahan penting yang sudah sekian lama rosak dan tidak digunakan.

“Bantuan ini hadir tepat pada masanya dan sangat kami syukuri. Ia bukan sahaja memberi keselesaan, malah menyerlahkan kembali semangat kami untuk terus menjaga anak-anak ini sebaik mungkin,” katanya.

Menurutnya lagi, ruang bilik bayi dan bilik multisensori yang diwujudkan akan memberi manfaat besar kepada kanak-kanak di bawah empat tahun termasuk mereka yang memerlukan ketenangan emosi dan sokongan psikososial.

Seorang penghuni, Dawina, 17, menyatakan rasa gembira apabila perpustakaan mini baharu telah ditambah baik buat pelajar di rumah tersebut.

“Terima kasih kepada XM Global. Saya akan manfaatkan kemudahan ini untuk menimba ilmu agar saya dapat capai impian untuk melanjutkan pelajaran kelak,” katanya.

Bagi Ahmad Fahrin, 16, kemudahan baharu yang disumbangkan menjadikan kehidupan penghuni lebih selesa dan selamat.

Jamaluddin turut berharap lebih banyak syarikat korporat tampil memberi sumbangan, khususnya dalam bentuk keperluan asas dan pembangunan agar kesejahteraan anak-anak di rumah kebajikan terus terbela. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN