Warga emas suami isteri ditemukan meninggal dunia dalam rumah

Pasangan warga emas ditemukan meninggal dunia dalam rumah

PASUKAN keselamatan membantu mengangkat mayat pasangan suami isteri yang ditemukan meninggal dunia di sebuah rumah kedai di Kampung Sungai Ruan, Raub, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAUB: Sepasang suami isteri warga emas ditemukan meninggal dunia di sebuah rumah kedai di Kampung Sungai Ruan di sini, hari ini.

Kedua-dua mangsa, Wong Tong Seng, 75, dan isterinya, Loh Kam Ngo, 73, ditemukan dalam keadaan sudah tidak bernyawa selepas pasukan bomba dan polis memecah masuk rumah mereka kira-kira pukul 12.20 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Raub, Superintenden Mohd. Shahril Abdul Rahman berkata, anggota polis yang ke lokasi mendapati mayat lelaki terbaring berhampiran sinki di bahagian dapur dalam keadaan sudah berulat manakala mayat wanita pula dijumpai di bucu katil bilik tengah.

“Pemeriksaan awal di lokasi kejadian tidak menemukan sebarang unsur jenayah dan mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Raub untuk bedah siasat, ” katanya di sini hari ini.

Kata beliau, hasil siasatan daripada anak mangsa memaklumkan bahawa ibunya menghidap penyakit Parkinson kronik sejak lebih 20 tahun lalu, manakala bapanya mempunyai masalah jantung.

“Anak si mati memaklumkan bahawa ibunya semakin uzur, tidak mampu berjalan dan percakapan sukar difahami selain sering mendapatkan rawatan di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Kuala Lumpur.

“Bapanya pula mendapatkan rawatan berkala untuk sakit jantung di Klinik Kesihatan Ulu Gali kerana kerap sakit dada sekiranya penat menaiki tangga menuju rumah mereka. Kali terakhir mereka berjumpa adalah pada waktu cuti sekolah yang lalu,”katanya.

Mohd. Shahril berkata, bedah siasat ke atas kedua-dua mangsa  mendapati punca kematian adalah disebabkan serangan jantung (Acute Coronary Syndrome). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN