MELAKA: Seorang warga emas dihadapkan ke Mahkamah Seksyen Ayer Keroh hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 14 tahun, dua tahun lalu.
Tertuduh, Jaafar Taib, 70, yang juga pesara, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim, Haderiah Siri.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan perbuatan di sebuah rumah di Klebang, dalam daerah Melaka Tengah kira-kira pukul 2 petang, pada awal Februari 2023.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nazrin Ali Rahim tidak mencadangkan jaminan namun menawarkan jumlah RM20,000 beserta syarat tambahan sekiranya mahkamah menggunakan budi bicara.
Peguam Kent Tan yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya menghidap penyakit jantung dan kencing manis selain mempunyai lima orang anak.
Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan beberapa syarat tambahan.
Syarat tersebut termasuk menyerahkan pasport kepada mahkamah, melapor diri setiap bulan di balai polis berhampiran serta tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.
Mahkamah menetapkan 16 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen. – UTUSAN