Waktu saya diduga, tidak putus minta doa ibu - Fattah Amin - Utusan Malaysia

Waktu saya diduga, tidak putus minta doa ibu – Fattah Amin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon, Fattah Amin, mengakui doa dan restu ibunya, Azizah Abdul Ghani sangat ajaib apalagi ketika dia ditimpa musibah besar dalam hidup. 

Jelas Fattah atau Abdul Fattah Mohd Amin, 35, ketika dirinya dilanda ujian besar suatu masa dulu, ibunya merupakan individu yang paling mengetahui setiap perkara selain mendoakan agar kehidupan Fattah kembali tenang.  

“Di saat saya diduga, satu-satunya orang saya rujuk dan minta doa adalah ibu saya. 

“Ibu saya doa satu perkara yang sangat spesifik, Alhamdulillah Allah makbulkan doa itu. Benarlah doa ibu tiada hijab,” katanya menerusi sebuah video temu ramah di rancangan audiosiar Cocombee yang kembali tular. 

Tambah juara Hero Remaja 2011 itu lagi, ramai yang memilih untuk bercerita dengan rakan sebaya ketika mempunyai masalah. 

Namun bagi Fattah, ibu adalah individu tepat untuk bercerita segalanya apalagi mereka adalah insan yang lebih mengenali hati anak-anak.

“Kadang kita rasa macam kawan adalah tempat paling selesa untuk bercerita. Tapi sebenarnya kalau kita bercerita dengan ibu,  dia akan dapat rasa kepayahan dan kesusahan anak-anak. Bila dia doa Insya Allah dipermudahkan. Itu yang terjadi kepada saya. 

“Saya nak ingatkan kepada semua yang masih ada ibu, teruslah meminta doa kepada mereka. Buat yang sudah kehilangan ibu, berdoalah untuknya kerana antara doa yang tidak pernah putus ialah doa anak-anak yang soleh,” katanya.

Terdahulu, keakraban Fattah dan keluarga menjadi sorotan di media sosial. Kemanisan itu dapat dilihat apabila Fattah dan ibu, Azizah melakukan sesi siaran langsung menjual tudung di aplikasi TikTok. 

Ibunya juga ada melawat ‘rakan sekerja istimewa’ Fattah, Amira Othman, di hospital baru-baru ini. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN