PETALING JAYA: Penerima visa mujamalah diingatkan agar tidak membuat sebarang bayaran penuh kepada pengendali haji selagi visa tersebut belum disahkan atau dikeluarkan secara rasmi.
Pensyarah Kanan Pengurusan Haji dan Umrah, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Lukmanul Hakim Hanafi berkata, sebarang permintaan bayaran penuh oleh individu atau syarikat sebelum visa dikeluarkan merupakan satu bentuk penipuan.
“Proses pendaftaran visa mujamalah ini kebiasaannya hanya memerlukan salinan pasport, rekod suntikan vaksin, dua keping gambar dan dalam sesetengah kes memerlukan bayaran pendaftaran.
“Kos paling murah bagi visa ini sekitar RM69,000 dan boleh mencecah sehingga RM120,000. Sebelum berangkat ke lapangan terbang, jemaah perlu mendapatkan pengesahan visa daripada pihak pengendali. Biasanya, pengendali akan menghantar senarai nama jemaah serta tempoh masa berada di Mekah,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Beliau mengulas mengenai kes 82 jemaah haji yang ditipu oleh pihak tidak bertanggungjawab setelah dijanjikan visa mujamalah, sehingga mendapat perhatian Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Lukmanul Hakim berkata, mana-mana individu yang berminat mendapatkan visa itu perlu memilih syarikat besar yang mempunyai rekod baik dan pengalaman luas dalam pengurusan jemaah haji.
Beliau turut mengingatkan tiada istilah ‘percuma’ dalam ibadah haji, memandangkan kos sebenar melibatkan pelbagai aspek seperti penginapan, pengangkutan dan perkhidmatan pengurusan.
“Saya terima kes baru-baru ini, sekumpulan jemaah mendakwa ditaja oleh seorang jutawan dan hanya perlu membayar RM10,000. Kononnya, kos sebenar visa mujamalah adalah RM80,000.
“Namun akhirnya mereka sedar telah menjadi mangsa penipuan, melibatkan lebih 100 orang dari Seremban, Melaka, Perak dan Kedah,” ujarnya.
Beliau menjelaskan visa mujamalah adalah visa khas yang diperuntukkan oleh Kerajaan Arab Saudi melalui pihak kedutaan kepada pemimpin-pemimpin negara yang mempunyai hubungan diplomatik rapat.
Berbeza dengan visa rasmi haji (muassasah) yang diperuntukkan berdasarkan kuota 0.1 peratus daripada jumlah penduduk sesebuah negara, visa mujamalah tidak tertakluk kepada sebarang kuota rasmi.
“Contohnya, Malaysia hanya menerima kuota rasmi sebanyak 31,600 jemaah haji setahun. Disebabkan permintaan tinggi, ramai yang terpaksa menunggu giliran bertahun-tahun.
“Visa mujamalah pula diberikan secara khas, tanpa had bilangan tahunan. Ia biasanya diberikan kepada pemimpin tertentu dan jika mereka tidak menggunakannya, visa itu akan dijual kepada syarikat atau agensi pelancongan,” katanya.
Tambah beliau, dakwaan kononnya visa mujamalah diberikan ‘percuma’ oleh pemimpin tertentu adalah tidak benar.
“Realitinya, ia dijual dengan harga antara RM10,000 hingga RM15,000 bagi setiap visa. Segala kos tambahan lain termasuk penginapan dan pengurusan perlu ditanggung oleh jemaah,” katanya.
Kelebihan Visa Mujamalah
- Tidak perlu menunggu giliran panjang
- Penginapan dan pengangkutan lebih selesa
- Tempoh masa menunaikan haji lebih singkat
- Kos antara RM69,000 hingga RM120,000