SEREMBAN: Prihatin dan simpati susulan nahas tragis melibatkan penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Gerik, Perak, semalam, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) tampil menghulurkan sumbangan.
Sumbangan kewangan sebanyak RM2,000 kepada UPSI itu disalurkan melalui Pusat Wakaf dan Zakat (PWZ) USIM.
Penyerahan sumbangan itu disempurnakan oleh Pengarah PWZ, Prof. Madya Dr. Ahmad Zaki Salleh kepada Naib Canselor USIM, Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani dan disaksikan oleh ahli Jawatankuasa Pengurusan Universiti (JKPU).
Dr. Sharifudin berkata, USIM merakamkan rasa dukacita atas musibah yang menimpa pelajar-pelajar UPSI yang terlibat dalam nahas mengorbankan 15 nyawa itu.
“Kami amat memahami kesakitan yang ditanggung dalam detik mencabar ini, dan mahu seluruh warga UPSI tahu bahawa mereka tidak berseorangan.
“Selain bantuan kewangan, USIM juga memberikan sokongan moral dan rohani melalui majlis tahlil, dan akan meneruskan kutipan dana melalui Tabung USIM Prihatin bagi memastikan bantuan dapat disalurkan secara berterusan, ” katanya.
USIM turut melancarkan kempen derma melalui Tabung USIM Prihatin, bermula 9 hingga 16 Jun ini bagi membolehkan lebih ramai warga kampus dan masyarakat umum menyalurkan sumbangan. – UTUSAN