BESUT : Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Terengganu membantu menguruskan sijil kematian 15 pelajar yang maut dalam tragedi kemalangan bas di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik, Perak.
Pengarahnya, Mohamad Nasir Kareem berkata, pengurusan sijil itu dilakukan melalui program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) bagi membantu meringankan beban keluarga mangsa.
“Memahami keadaan waris dan kekangan masa yang dihadapi, JPN cuba membantu agar pihak keluarga tidak perlu hadir ke kaunter bagi urusan permohonan dan tuntutan sijil kematian ini.
“Alhamdulillah daripada 15 mangsa ini hanya tinggal dua permohonan lagi yang masih di dalam proses manakala baki yang lain telah selesai,” katanya ketika ditemui di Kampung Bharu Tok Dor di sini.
Daripada jumlah itu, sebanyak lapan sijil kematian mangsa dari daerah Besut itu dihantar terus kepada waris, yang mana JPN turun sendiri ke rumah mangsa terlibat manakala lima lagi sijil kematian telah dituntut oleh waris di kaunter jabatan itu. – UTUSAN