TANJUNG MALIM: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melawat semua waris 15 pelajar universiti itu yang terkorban dalam nahas di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Jeli-Gerik dekat sini kelmarin.
Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff berkata, turut sama petugas kaunseling dan sukarelawan pelajar UPSI yang akan membantu menguruskan keperluan pelajar dan keluarga termasuk yang mengalami kecederaan.
“Seramai 40 pelajar menaiki bas dari UPSI ke kampung halaman mangsa di Jertih dan Setiu, Terengganu untuk memberi penghormatan terakhir sebelum dikebumikan.
“Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Norkhalid Salimin ke kampung halaman mangsa untuk melihat sendiri urusan pengebumian jenazah,” katanya di sini hari ini.
Katanya, UPSI turut menubuhkan dua tabung khas untuk orang ramai menyumbang iaitu Tabung Majlis Perwakilan Pelajar (RHB Bank: 25807500029702) dan Tabung UPSI Prihatin (Bank Islam : 08068010003264).
“UPSI membuka bilik gerak kerja untuk memantau segala urusan dan sentiasa prihatin terhadap kebajikan pelajar malah akan memberikan bantuan psikologi kepada mangsa yang sedang mendapat rawatan di hospital.
“Kami warga UPSI berasa sedih dan dukacita dengan insiden ini dan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu menguruskan jenazah pelajar,” katanya.
Dalam kejadian pada pukul 12.45 tengah malam berhampiran Tasik Banding itu, sebuah bas persiaran membawa 42 pelajar UPSI dikatakan hilang kawalan sebelum melanggar sebuah MPV dinaiki empat sekeluarga.
Kemalangan tragis itu menyebabkan 15 pelajar UPSI terdiri daripada lima lelaki dan 10 perempuan maut manakala pemandu dan penumpang MPV cedera.
Kejadian berlaku ketika bas persiaran yang disewa khas itu dalam perjalanan dari Jertih, Terengganu ke kampus UPSI di Tanjung Malim. – UTUSAN
.