TANJUNG MALIM: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) memberi jaminan bahawa pelajar yang terlibat mahupun tercedera dalam nahas jalan raya di Gerik minggu lalu, tidak tercicir akademik.
Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff berkata, pihak universiti sedang mencari pendekatan terbaik bagi memastikan urusan pembelajaran pelajar yang terlibat tidak terjejas sehingga terpaksa menangguhkan pengajian.
“Pelajar yang tercedera ini ada yang dirawat di hospital dan di rumah. Jadi saya mohon dapat diuruskan dengan baik urusan peperiksaan, tugasan dan akademik mereka agar sebolehnya tiada yang perlu menangguh semester.
“Mereka sedang melalui kesakitan dan keadaan yang sukar namun kita mempunyai sistem pembelajaran yang fleksibel. Kita akan gunakan untuk memastikan mereka ini tidak tertinggal dalam pelajaran,” katanya dalam sesi taklimat secara dalam talian berkaitan kemalangan bas di Gerik hari ini.
Menurut beliau, kebajikan pelajar yang terlibat itu merupakan antara fokus utama yang diberi penekanan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ketika baginda dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara mencemar duli berangkat ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh bagi menziarahi keluarga mangsa.
Malah katanya, pesanan sama turut dizahirkan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir.
“Pastikan agar mereka tidak tertinggal. Itu pesanan Menteri Pendidikan Tinggi sendiri kepada saya. Begitu juga titah baginda dalam titis air matanya untuk bantu dan tolonglah anak-anak ini,” katanya.
Dalam pada itu, Md. Amin berkata, pihaknya juga memberi perhatian kepada kebajikan warga universiti dan pelajar yang berada di hospital bagi memberi khidmat kaunseling dan sokongan kepada mangsa dan waris.
“Anak-anak ini juga harus diberikan perhatian, bantuan dan sokongan agar jangan nanti ada anak-anak ini yang gagal atau yang digagalkan.
“Begitu juga sokongan kepada rakan-rakan kepada mangsa yang telah meninggal dunia. Bayangkan ketika membuat pembentangan, dari lima nama hanya tiga sahaja yang di dalam kelas.
“Bayangkan pula di dalam bilik, dari empat sahabat hanya tinggal berdua memandang sepi katil yang kosong. Saya mohon semua agar bantu anak-anak ini yang kini dalam keadaan sukar,” katanya.
Dalam kejadian pada pukul 12.45 tengah malam di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli berhampiran Tasik Banding Isnin lalu, sebuah bas persiaran membawa 42 penuntut UPSI dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza dinaiki empat sekeluarga.
Kemalangan itu menyebabkan 15 pelajar UPSI terdiri daripada lima lelaki dan 10 perempuan maut manakala pemandu dan penumpang MPV cedera.
Kejadian berlaku ketika bas persiaran yang disewa khas itu dalam perjalanan dari Jertih, Terengganu ke kampus UPSI di Tanjung Malim selepas cuti hari raya Aidiladha. – UTUSAN