SERIAN: UMNO menuntut satu lagi jawatan menteri penuh selepas Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan keputusannya meninggalkan parti itu dengan menyertai PKR.
Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO diperuntukkan kuota tujuh jawatan menteri penuh dalam Kerajaan Perpaduan.
“Sekarang ni UMNO akan tinggal hanya enam orang menteri. Kalau kuasa mutlak ini dilaksanakan sepenuhnya oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) maka dengan keberadaan Tengku Zafrul di luar UMNO, maka layaklah untuk UMNO memohon satu kerusi diberikan kepada UMNO untuk menjadi menteri penuh bagi mencukupkan jumlahnya kepada tujuh,” katanya.
Bercakap kepada pemberita selepas Program Pekebun Kecil Makmur Dan Sambutan Pra Gawai Peringkat RISDA Negeri Sarawak Tahun 2025, di Kampung Raeh Baru, Serian semalam, beliau berkata, keputusan Tengku Zafrul itu telah dibincang dan dipersetujui tiga bulan yang lalu.
“Dia mengadakan perbincangan dengan saya ketika sidang Parlimen tiga bulan yang lalu, dan saya tidak ada masalah untuk beliau keluar.
“Tetapi kita harus tahu bahawa oleh kerana kita berada dalam sebuah Kerajaan Perpaduan adalah tidak beretika jika mana-mana parti dalam Kerajaan Perpaduan menerima kemasukan parti daripada anggota Kerajaan Perpaduan, tidak beretika.
“Dalam hal ini kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki itu adalah kenyataan rasmi dan merupakan pendirian kepimpinan UMNO,” katanya.
Asyraf Wajdi dalam kenyataan berkata, adalah amat tidak wajar untuk mana-mana parti dalam Kerajaan Perpaduan menerima keahlian daripada ahli parti lain sewenang-wenangnya.
Ia bagi mengelak berlakunya ketidakharmonian dalam kalangan parti dalam gabungan Kerajaan Perpaduan sehingga tercetus prejudis dan prasangka berterusan mengenai tahap setiakawan, keikhlasan serta kejujuran dalam kalangan ahli akar umbi. – UTUSAN