MELAKA: Seorang tukang cuci didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak gadis kekasihnya yang berusia 15 tahun.
Tertuduh, Tay Kok Seng, 51, mengaku tidak bersalah sejurus tiga pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Haderiah Siri dan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.
Bagi pertuduhan dihadapan Haderiah, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa yang ketika itu berusia 14 tahun bagi tujuan seksual.
Sementara itu, dihadapan Rohatul Akmar, tertuduh yang menetap bersama kekasihnya sejak tiga tahun lalu berdepan dua pertuduhan melakukan perbuatan sama terhadap mangsa sama.
Kesemua kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 7.30 malam dalam bilik tidur sebuah rumah di Taman Cheng Bestari dalam daerah Melaka Tengah pada 18, 19 dan 20 November 2024.
Sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKSTKK) 2017.
Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nazrin Ali Rahim tidak menawarkan jaminan tetapi mencadangkan RM15,000 bagi setiap pertuduhan sekiranya mahkamah mahu menggunakan budi bicara sementara Timbalan Pendakwa Raya, Wardah Ishhar mencadangkan RM20,000.
Peguam Quek Kia Ping merayu jaminan rendah dengan alasan anak guamnya bekerja sebagai tukang cuci dengan pendapatan kira-kira RM3,000 dan menanggung dua anak yang masih bersekolah.
Kia Ping turut memaklumkan tertuduh dan mangsa tidak lagi tinggal bersama dengan jarak kira-kira 10 kilometer (km).
Haderiah membenarkan ikat jamin RM8,000 manakala Rohatul Akmar membenarkan jaminan RM20,000 bagi dua pertuduhan.
Mahkamah turut mengarahkan tertuduh melapor diri setiap bulan di balai polis berhampiran, dilarang mendekati mangsa dan berada sekurang-kurangnya 20km dari mangsa. – UTUSAN