BUKIT MERTAJAM : Pengurusan TikTok dijangka tampil membuat penjelasan berhubung trend ‘PK Battle’ yang dikhuatiri memudaratkan kesihatan mental golongan muda terutamanya kanak-kanak.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, dalam hal ini, pihaknya memandang serius isu tersebut yang turut menimbulkan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa.
Katanya, isu berkenaan telah dilaporkan oleh pihak media sebelum ini apabila ada ibu bapa yang menyuarakan kebimbangan tentang wang yang dibelanjakan anak-anak mereka untuk membeli ‘gift’ atau hadiah bagi menyertai trend berkenaan.
“Kita ambil serius isu ini memandangkan TikTok telah diberikan lesen untuk beroperasi di negara ini. Oleh itu, mereka perlu tampil untuk memberi penjelasan selain menyatakan apa langkah yang boleh diambil untuk menyelesaikan masalah ini.
“Ini antara sebab kenapa pihak kerajaan khususnya Kementerian Komunikasi menegaskan bahawa anak-anak di bawah usia 13 tahun tidak boleh memiliki akaun TikTok, Instagram dan mana-mana media sosial yang lain kerana mereka lebih mudah terpengaruh untuk mengikuti trend-trend seperti ini.
“Arahan ini telah dikeluarkan pagi tadi dan saya jangka, mungkin dalam minggu ini mereka (pengurusan TikTok) akan datang untuk berbincang (dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia atau MCMC),” katanya.
Terdahulu, Fahmi melakukan tinjauan pelaksanaan pengukuran kualiti perkhidmatan menggunakan aplikasi MCMC NEXUS merangkumi laluan dari Pusat Konvensyen PICCA Butterworth ke NADI Kubang Semang di sini, hari ini.
Presiden Pertubuhan Damai Revolusi Masyarakat, L. Francis dalam kenyataannya sebelum ini mengulangi gesaan terhadap pihak MCMC termasuk PDRM agar segera menyiasat platform terbabit yang dilihat sebagai satu medan pertaruhan yang kurang sihat khususnya terhadap generasi muda.
Dakwa Francis, permainan PK Battle yang disiarkan secara langsung di TikTok itu bukan sahaja membuang masa, malah, boleh mendorong tercetusnya masalah sosial termasuk jenayah peras ugut, buli dan eksploitasi seksual jika dibiarkan berleluasa.-UTUSAN