PETALING JAYA: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta laporan penuh daripada semua agensi berkaitan berhubung 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terkorban dalam nahas jalan raya di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB),berhampiran Tasik Banding, Gerik, Perak awal pagi tadi.
Timbalan Perdana Menteri berkata, laporan tersebut diperlukan bagi tindakan susulan yang sewajarnya, selain memastikan siasatan berjalan dengan lancar.
“Saya telah meminta laporan penuh daripada agensi-agensi berkaitan untuk tindakan susulan yang sewajarnya. Justeru, saya menyeru agar semua pihak dapat bersabar dan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa bagi melancarkan siasatan,” katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya.
Beliau turut menzahirkan rasa dukacita dan bersedih atas insiden tragis yang meragut 15 nyawa yang dipercayai pelajar UPSI, yang disifatkan sebagai satu dugaan besar bagi keluarga mangsa dan negara.
“Sebagai seorang bapa, saya amat terkesan dengan kejadian ini. Saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga yang kehilangan insan tersayang. Semoga mereka dikurniakan ketabahan dan kekuatan untuk menghadapi saat yang sukar ini.
“Semoga roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman. Saya juga mendoakan agar semua mangsa yang sedang menerima rawatan segera pulih dan diberi kesembuhan sepenuhnya,” katanya. – UTUSAN