PETALING JAYA: Tindakan meletakkan kesalahan sepenuhnya terhadap pemandu semata-mata dalam nahas melibatkan bas yang mengorbankan 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), baru-baru ini adalah tidak tidak adil.
Presiden Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH), Ahmad Fakhrul Anuar Ismail berkata, meskipun faktor manusia seperti kecuaian atau kesilapan pemandu tidak boleh diketepikan, namun tanggungjawab sebenar juga perlu diletakkan ke atas majikan atau pemilik syarikat pengangkutan.
Katanya, ia adalah contoh klasik kegagalan tanggungjawab organisasi yang tidak melaksanakan langkah pencegahan dan kawalan risiko secara menyeluruh.
“Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (AKKP 1994) jelas menetapkan tanggungjawab majikan terhadap keselamatan pekerja serta orang awam yang mungkin terlibat dalam operasi syarikat mereka.
“Seksyen 15 akta tersebut mewajibkan majikan memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja, manakala Seksyen 17 pula menegaskan keselamatan orang lain yang mungkin terjejas oleh operasi mereka, termasuk penumpang, pelajar dan pengguna jalan raya lain,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Fakhrul membangkitkan beberapa persoalan yang perlu dijawab oleh syarikat bas terbabit, antaranya berkaitan kewujudan prosedur operasi standard (SOP) harian bagi pemeriksaan bas sebelum memulakan perjalanan.
Beliau turut mempersoalkan SOP pemilihan pemandu, sama ada ia dilakukan berdasarkan kesihatan, pengalaman dan rekod prestasi yang telus.
“Adakah pemandu dibekalkan dengan garis panduan pemanduan selamat? Termasuk pengurusan keletihan dan waktu rehat? Jika tiada, ini adalah kelalaian pengurusan,” katanya.
Beliau berkata, syarikat pengangkutan juga perlu mendedahkan sama ada wujud sistem pemantauan perjalanan dan kelajuan secara langsung (real-time monitoring) serta jika ada penilaian risiko dilakukan berdasarkan waktu perjalanan, cuaca dan keadaan jalan.
“Sekiranya semua ini tidak wujud atau gagal dipatuhi, maka jelas sekali majikan dan syarikat pengangkutan telah mengabaikan tanggungjawab yang diperuntukkan dalam undang-undang,” tegasnya.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan tanggungjawab pemilik syarikat bukan sekadar menyediakan bas dan mengaut keuntungan.
Sebaliknya, mereka wajib memastikan semua aspek operasi termasuk pemilihan pemandu, penyelenggaraan bas, pengurusan perjalanan dan pemantauan risiko dilakukan secara menyeluruh.
“MSOSH menyeru agar siasatan insiden ini dibuat secara menyeluruh, bukan hanya menyalahkan individu di lapangan semata-mata,” katanya.
Terdahulu, dalam kejadian 9 Jun lalu, seramai 15 penuntut UPSI maut selepas bas yang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan ngeri di Jalan Raya Timur-Barat, Gerik, Perak.
Kemalangan awal pagi itu turut mengakibatkan 33 cedera termasuk pemandu dan kelindan bas serta pemandu dan tiga penumpang Perodua Alza. – UTUSAN