BESUT : “Liang lahad buat Nur Aina Qistina telah sedia dan hanya menunggu ‘kepulangannya’,” kata kakak kepada seorang pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), yang terkorban dalam kemalangan bas di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik, Perak, hari ini.
Nur Ainun Afiqah Mat Ali, 22, berkata, liang lahad itu digali dengan bantuan penduduk kampung setelah proses pengecaman arwah dilakukan oleh ibu dan bapanya di Hopital Raja Permaisuri Bainun Hospital, Ipoh, Perak.
“Proses pengecaman selesai kira-kira pukul 12.45 tengah hari ini manakala kubur untuk arwah pula siap digali antara pukul 2 hingga pukul 3 petang ini.
“Saya tidak menyangka kepulangan Nur Aina pada cuti Hari Raya Aidiladha ini adalah kenangan terakhir yang dicipta bersama keluarga,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Anak Ikan, di sini hari ini.
Menurut Nur Ainun Afiqah, adiknya tidak menunjukkan sebarang perubahan ketara dan banyak meluangkan masa bersama keluarga termasuk mengajaknya makan di Pantai Benting Lintang.
“Sebelum pulang ke UPSI, Nur Aina Qistina sempat memasak ketupat sotong untuk kami sekeluarga tetapi hanya saya yang sempat makan air tangan arwah itu. Kebetulan ahli keluarga lain telah kenyang dan dia kemudian membungkus ketupat sotong itu untuk dibawa balik ke universiti,” katanya.
Katanya, jenazah Nur Aina Qistina akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Alor Serdang di sini. – UTUSAN