BALING: Pemandu Perodua Alza yang terlibat kemalangan dengan bas membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Gerik ada menelefon ibunya untuk memaklumkan nahas menimpa mereka sekeluarga.
Bagaimanapun, panggilan Mohd. Lutfi Radzi, 37, kira-kira pukul 8.30 pagi tidak sempat dijawab ibunya, Norlian Abd Halim, 58, yang ketika itu berada di rumahnya di Parit Panjang, di sini.
Katanya, dia menghubungi semula Mohd. Lutfi tidak lama kemudian dan dimaklumkan yang mereka terbabit kemalangan dengan bas tetapi anak bersama isteri serta dua cucunya dalam keadaan selamat.
“Menantu saya, Nurul Ain Zakaria, 35, mengalami kecederaan parah pada bahagian tulang rusuk kiri manakala cucu saya, Nur Aisyah Nafishah, 6, patah kaki kanan.
“Seorang lagi cucu, Muhammad Ahsan Nafis, 2, tidak cedera teruk walaupun dikatakan dia terjatuh dalam longkang dan sudah menjalani pemeriksaan imbasan x-ray manakala anak saya pula sudah dibenarkan keluar wad tetapi dia masih di hospital menjaga isteri dan anak-anaknya,” katanya ketika ditemui petang, semalam.
Norlian berkata, dia ada melihat video kemalangan itu tetapi tidak sanggup melihatnya sehingga habis kerana sedih dengan apa yang berlaku.
Katanya, Mohd. Lutfi sekeluarga dalam perjalanan pulang selepas balik bercuti sempena Hari Raya Aidiladha di rumah keluarga mentuanya di Terengganu.
“Anak dan menantu saya adalah pasangan guru dan tinggal berhampiran rumah saya, anak bongsu mereka juga tinggal dengan saya untuk dijaga ketika mereka keluar bekerja.
“Mak cik bersyukur mereka selamat dalam kejadian itu walaupun kenderaan Perodua Alza mereka agak teruk.
“Saya dan ahli keluarga lain tidak dibenarkan melawat mereka di hospital buat masa ini, cuma saya hanya sempat bertemu Mohd. Lutfi petang semalam ketika menghantar lampin pakai buang cucu,” katanya.
Kemalangan tragis di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik awal pagi semalam mengorbankan 15 nyawa pelajar UPSI yang dalam perjalanan pulang ke kampus selepas bercuti sempena Aidiladha. – UTUSAN