KUALA LUMPUR: Dakwaan pemandu bas memandu secara laju kerana dibayar mengikut jumlah perjalanan (trip) dan bukannya berdasarkan jam kerja masih belum dapat dipastikan dan disifatkan sebagai spekulatif.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, siasatan menyeluruh perlu dilakukan terlebih dahulu sebelum sebarang kesimpulan dibuat.
“Buat masa ini, dakwaan pemandu memandu laju kerana dibayar mengikut trip masih dalam kategori spekulasi.
“Apa yang telah saya sahkan ialah permit bas itu telah dipajak kepada pihak ketiga, bukan dikendalikan oleh pemegang lesen asal,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Anthony Loke berkata, peraturan sedia ada sudah menetapkan had maksimum jam yang boleh dipandu seseorang pemandu dalam sehari, namun isu utama kini adalah tahap pematuhan syarikat pengendali terhadap syarat tersebut.
“Kita memang ada peraturan. Kalau langgar, tindakan seperti penggantungan atau pembatalan lesen pengendali boleh diambil. Penguatkuasaan kita akan ketatkan,” katanya.
Mengulas cadangan agar Malaysia menggunakan teknologi anti-tamper seperti yang dilaksanakan di negara maju untuk mengelak manipulasi terhadap sistem speed limiter, beliau berkata, kerajaan sedang meneliti perkara tersebut secara serius.
“Kita melihat bagaimana negara seperti Amerika Syarikat (AS) dan Eropah guna peranti keselamatan yang tidak boleh dimanipulasi.
“Ini penting kerana kita dapati ada kes sistem had laju dimanipulasi untuk elak dikesan,” katanya.
Beliau berkata, pemasangan speed limiter hanya diwajibkan ke atas kenderaan berat yang didaftarkan selepas tahun 2015, manakala bas terbabit kemalangan melibatkan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) didaftarkan pada 2013, dan tidak tertakluk kepada syarat itu.
“Bas terlibat dalam kemalangan yang berlaku telah didaftarkan pada 2013. Oleh itu, bas tersebut tidak tertakluk di bawah peraturan semasa.
“Kita kini sedang kaji sama ada peraturan itu perlu perluaskan kepada semua bas lama juga,” katanya.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai pekeliling Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang mewajibkan pengemukaan rekod GPS oleh pengendali bas, beliau berkata, walaupun SPAD telah dibubarkan, peraturan ditetapkan agensi itu masih sah dan dikuatkuasakan.
“Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 masih berkuat kuasa. SPAD mungkin dah dibubarkan, tapi undang-undang dan peraturannya masih diguna pakai oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD),” katanya. – UTUSAN