Tragedi pelajar UPSI: Bas tidak ikut laluan biasa

Tragedi pelajar UPSI: Bas tidak ikut laluan biasa Jalan Gua Musang

NAJIBAH Zahir (kanan) ditemui Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd. Kadir dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek di Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Ahli keluarga kepada salah seorang mangsa yang cedera dalam kemalangan bas yang meragut 15 nyawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) awal pagi tadi mendakwa kenderaan itu tidak menggunakan laluan biasa melalui Gua Musang, Kelantan.

Najibah Zahir, 30, yang merupakan kakak ipar kepada mangsa yang cedera, Lily Suzana Mat Yaakob, 23, berkata, sebaliknya bas yang dinaiki pelajar berbabit bertolak dari Jerteh, Terengganu melalui Jalan Raya Timur Barat ke Gerik.

Menurutnya, pemandu mungkin menggunakan JRTB sebagai  jalan alternatif menerusi Gerik dipercayai bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.

“Biasanya bas ikut ikut laluan Gua Musang, tapi kali ini pemandu guna laluan Gerik, mungkin untuk elak jalan sesak. Saya terkejut bas terbabit terlibat kemalangan,” katanya ketika ditemui pemberita di di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini hari ini.

Najibah berkata, sepatutnya adik iparnya tidak menaiki bas tersebut malam namun kerana mahu menghadiri kelas, dia mengambil tiket untuk bergerak lebih awal dan menaiki bas tersebut.

Katanya, dia mendapat tahu mengenai kemalangan itu melalui mesej dalam kumpulan WhatsApp keluarga.

“Sebaik sahaja melihat gambar bas yang terbalik, saya tahu itu bas yang dinaik adik ipar saya. Saya jadi panik kerana tahu adik ipar saya ada dalam bas tersebut.

“Ketika itu saya berada di kampung di Pulau Pinang dan sebaik sahaja mendapat tahu mengenai kemalangan itu, saya terus ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini.

“Alhamdulillah, doktor maklumkan keadaan adik ipar saya stabil dan tiada pendarahan dalam kepala, tapi dia masih belum sedarkan diri. Sekarang sedang jalani imbasan lanjut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN