IPOH: Bas yang terlibat dalam nahas tragis di Jalan Raya Timur Barat (JRTB), Gerik awal pagi ini yang mengorbankan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), disahkan bukan milik universiti itu.
Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md. Taff berkata, bas berkenaan merupakan bas persiaran yang disewa atas inisiatif pelajar sendiri untuk kembali ke kampus selepas bercuti sempena Hari Raya Aidiladha.
“Bas itu bukan bas UPSI. Ia adalah bas persiaran yang disewa oleh pelajar sendiri. Mereka uruskan secara persendirian untuk pulang ke kampung dan kembali ke universiti,” katanya pada sidang akhbar di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainon, Ipoh, di sini hari ini.
Hingga kini dentiti semua mangsa yang terkorban masih dalam proses pengesahan, dan keluarga pelajar telah dimaklumkan segera oleh pihak universiti untuk tindakan lanjut.
“Kami telah menubuhkan bilik gerakan khas bagi membantu mangsa dan keluarga. Bantuan penginapan dan kewangan turut disediakan kepada waris yang memerlukan,” katanya.
Kemalangan dipercayai berlaku kira-kira jam 1 pagi apabila bas dinaiki pelajar UPSI bertembung dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Jalan Gerik-Jeli berhampiran Tasik Banding.
Difahamkan, 13 mangsa akan menjalani bedah siasat di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh, manakala dua lagi di Hospital Gerik.
Tragedi ini menggemparkan negara dan mengundang simpati ramai terhadap keluarga mangsa.
Dalam nahas pada kira-kira pukul 1 pagi, 15 pelajar UPSI maut apabila bas dinaiki mereka terlibat kemalangan dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) di Jalan Gerik-Jeli dekat Tasik Banding.
Difahamkan 13 mangsa akan menjalani bedah siasat di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh manakala dua lagi di Hospital Gerik. – UTUSAN

								
											








