PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terkorban dalam nahas jalan raya di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB),berhampiran Tasik Banding, Gerik, Perak awal pagi tadi.
Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah melahirkan rasa sedih atas tragedi itu dan mendoakan agar seluruh ahli keluarga mangsa dikurniakan kekuatan serta ketabahan dalam menghadapi ujian getir tersebut.
“Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan rasa sedih dan mendoakan mereka yang kehilangan ahli keluarga dalam tragedi itu dikurniakan kekuatan, ketabahan serta dipermudah urusan melalui tempoh yang amat sukar ini,” menurut kenyataan itu.
Seri Paduka Baginda berdua turut mendoakan agar mangsa yang sedang dirawat di hospital diberikan kesembuhan segera.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan sekurang-kurangnya 15 individu dilaporkan maut dalam nahas membabitkan sebuah bas dan kenderaan pelbagai guna (MPV) di Jalan Gerik-Jeli berhampiran Tasik Banding di sini awal pagi tadi.
Difahamkan kejadian sekitar pukul 1 pagi itu melibatkan sebuah bas yang membawa pelajar UPSI.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak dalam kenyataan memaklumkan laporan kemalangan itu melibatkan 48 mangsa. – UTUSAN