LONDON: Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau akan mengadakan perbincangan dengan Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) susulan keputusan Majlis Amanah Rakyat (Mara) membuat keputusan mennghentikan penghantaran pelajar tajaannya bagi menyambung pelajaran ke universiti-universiti di Amerika Syarikat (AS) bermula tahun ini.
Timbalan Perdana Menteri berkata, perbincangan itu perlu dilakukan bagi melihat keperluan sama diambil terutamanya melibatkan pelajar-pelajar di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan agensi-agensi lain di bawah kerajaan Malaysia.
“Sekembalinya nanti, saya akan mengadakan perbincangan dengan KSN dan KPPA tentang langkah-langkah yang akan dilakukan terutamanya pelajar-pelajar di bawah JPA dan juga agensi lain di bawah kerajaan Malaysia. Tentunya ada blessing in disguise (hikmah di sebalik musibah),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pramajlis bersama delegasi Malaysia sempena lawatan kerja rasmi beliau ke United Kingdom di sini hari ini.
Hari ini Utusan Malaysia melaporkan Mara akan menghentikan penghantaran pelajar tajaannya bagi menyambung pelajaran ke universiti-universiti di AS bermula tahun ini.
Pengerusi Mara, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, perkara tersebut mengambil kira situasi politik dan dasar-dasar semasa AS yang dilihat berubah-ubah yang dibimbangi akan memberikan impak kepada para pelajarnya.
Kata beliau, oleh itu perbincangan dengan pelajar-pelajar yang sudah berada di kolej-kolej persediaan untuk ke AS ketika ini akan dilakukan pihak pengurusan Mara bagi menentukan haluan baharu pengajian mereka.
Tambahnya, perbincangan sama juga akan dilakukan bersama kira-kira 266 orang pelajar tajaan Mara yang sedang berada di negara Uncle Sam itu supaya mereka dapat menyambung pengajian di negara lain yang turut menawarkan bidang yang sama.
Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, pelajar-pelajar tajaan Mara yang pada asalnya akan melanjutkan pengajian ke university di AS akan dihantar UK sebagai ganti.
Ia mengambil kira UK yang dilihat sebagai pilihan terbaik yang mempunyai kemudahan tersedia serta Kerjasama rapat di antara Mara dan universiti di sana.
“Kita berkemungkinan besar akan mengalihkan pelajar-pelajar yang telah berhasrat untuk belajar ke AS untuk belajar di UK di dalam bidang yang sama yang telah mereka mohon mempelajarinya,” katanya.