SEPANG: Pelantikan bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua sebagai Pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP dibuat berdasarkan pengalaman luas dimiliki pemimpin senior itu.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, Pua adalah antara pemimpin senior dalam parti serta masih lagi aktif dalam arena politik.
“Beliau masih aktif dalam politik dan seorang pemimpin kanan dalam parti,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan Transport Expo Asia (TXA) 2025 di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menafikan dakwaan kononnya pelantikan Pua itu tidak lagi relevan kerana dianggap telah lama menyepi dalam parti.
Hari ini, Loke mengumumkan bekas menteri sumber manusia, V Sivakumar, dilantik menganggotai CEC DAP bagi penggal ini yang akan berlanjutan sehingga 2028, selain Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying.
Ketika ini, Pua adalah penasihat dasar kepada Setiausaha Agung DAP malah, pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ketika Pakatan Harapan (PH) memerintah. – UTUSAN