TLDM selamatkan dua nelayan Indonesia tiga hari hanyut di Selat Melaka - Utusan Malaysia

TLDM selamatkan dua nelayan Indonesia tiga hari hanyut di Selat Melaka

DUA nelayan Indonesia yang hanyut di Selat Melaka diserahkan oleh TLDM kepada Maritim Malaysia. - UTUSAN/IHSAN TLDM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Dua nelayan Indonesia yang hanyut di laut selama tiga hari, diselamatkan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), tengah malam semalam.

Dua nelayan berusia 25 dan 23 tahun itu ditemui dalam keadaan keletihan setelah berada dalam bot selama tiga hari dengan keadaan laut yang bergelora.

Menurut Cawangan Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat Pangkalan TLDM Lumut, kedua-dua nelayan berasal dari Tanjung Balai, Indonesia, berada di laut sejak Khamis lalu.

Katanya, enjin bot mereka kemudian mengalami kerosakan pada pagi Sabtu menyebabkan bot hanyut dan terpaksa dikendalikan secara manual.

“Mereka bagaimanapun berjaya membawa bot tersebut menghampiri Pulau Jarak, yang terletak 39 batu nautika atau 72 kilometer di barat Kuala Perak, pada tengah malam Selasa, sebelum dibantu oleh kru Stesen Jarak TLDM,” katanya.

Katanya, atas dasar kemanusiaan, selain memberi bantuan perlindungan sementara, kru Stesen Jarak TLDM turut membekalkan nelayan berkenaan dengan bekalan makanan dan bantuan asas lain.

Bot yang mengalami kerosakan enjin juga telah dapat dibaiki dengan bantuan kru stesen tersebut manakala maklumat berkaitan kejadian telah dimaklumkan kepada pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak untuk tindakan lanjut.

Bot yang telah dibaiki itu akan diiringi keluar perairan negara oleh Kapal Maritim (KM) KM Malawali, dalam tempoh terdekat.

“Sebagai sebuah insititusi yang bertanggungjawab terhadap keselamatan dan kedaulatan perairan negara, TLDM sentiasa peka terhadap aspek keselamatan dan kebajikan
komuniti maritim di Malaysia.

“Bantuan akan dihulurkan kepada pihak yang memerlukan tanpa mengira kewarganegaraan selari dengan undang-undang dan konvensyen antarabangsa,” katanya.

TLDM bagaimanapun menasihatkan komuniti maritim yang merancang untuk ke laut agar memastikan bot yang digunakan berada dalam keadaan baik bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN