KUALA LUMPUR: Peminat Inteam berharap agar kumpulan itu dapat menganjurkan hari kedua bagi konsert Kasih Kekasih Inteam 25 Tahun yang bakal berlangsung September depan.
Perkara itu berikutan kegagalan sebilangan besar peminat membuat tempahan sebaik sahaja tiket habis terjual dalam tempoh satu jam bermula tengahari semalam.
“Saya tercongok depan laptop sejak pukul 11.30 pagi, tekan refresh berulang kali sampai pukul 12 tengahari. Saya tak dapat tekan mana-mana seat, habis teruk. Bertarung selama satu jam tiga puluh minit. Akhirnya kalah di hari jadi saya,” luah seorang peminat.
“Buatlah hari kedua, penat refresh dua jam,” komen seorang lagi peminat.
Konsert Kasih Kekasih Inteam 25 yang akan berlangsung pada 28 September ini bertempat IdeaLive Arena, Petaling Jaya.
Terdahulu, Inteam terpaksa mengubah tarikh dan lokasi asal konsert berkenaan iaitu 27 September di Zepp KL berikutan permintaan memberansangkan terhadap jualan tiket.
Peminat dalam masa yang sama turut mencadangkan Inteam memindahkan konsert berkenaan ke lokasi lebih besar untuk memuatkan lebih ramai penonton.
“Trafik dalam talian mencecah 80,000, buat di Stadium Bukit Jalil sahajalah.” tulis peminat.
“Buatlah di stadium,” cadang seorang lagi peminat. – UTUSAN