Tiga petugas program korban cedera ditanduk kerbau - Utusan Malaysia

Tiga petugas program korban cedera ditanduk kerbau

SEEKOR kerbau yang agresif ketika program sembelihan korban menyebabkan tiga petugas cedera di Surau Tajul Ulum, Kampung Batu 3, Jalan Tanjung Tualang di Batu Gajah semalam. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU GAJAH: Program ibadah korban di Surau Tajul Ulum, Kampung Batu 3 di Jalan Tanjung Tualang di sini semalam cemas apabila seekor kerbau tiba-tiba bertukar agresif dan menanduk beberapa lelaki yang terlibat melaksanakan sembelihan haiwan tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Air Mati, Zailan Mohamed @ Md Rawi berkata, kejadian berlaku sekitar pukul 10 pagi di mana kerbau tersebut merupakan haiwan korban kelima.

Katanya, akibat tindakan agresif kerbau itu, tiga lelaki berusia lingkungan 20-an yang membantu dalam melaksanakan ibadah korban mengalami luka-luka dan calar di badan.

“Ketika kejadian, empat ekor kerbau telah pun selesai disembelih dan kerbau ‘naik minyak’ ini merupakan haiwan yang kelima. Mungkin takut lihat ‘kawan-kawan’ lain menyebabkan kerbau ini bertukar agresif.

“Kebetulan pula seorang daripada petugas, kakinya tersangkut pada tali pengikat, bila yang lain cuba bantu, mereka pula terkena tandukan kerbau tersebut,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, meskipun sukar, kerbau itu akhirnya berjaya ditumbangkan dalam tempoh 15 minit sebelum disembelih.

“Ini kali pertama kejadian seperti ini berlaku. Petugas yang terlibat juga adalah orang yang sudah biasa membantu dalam menguruskan ibadah korban di sini.

“Mereka hanya mengalami calar di dada dan luka kecil di tangan akibat ditanduk kerbau. Tiada kecederaan serius seperti mana yang ditularkan,” katanya.

Tambah Zailan, insiden seumpama itu tidak pernah berlaku sebelum ini sepanjang mereka melaksanakan ibadah korban di kampung tersebut.

“Sebelum ini kita sembelih tiga ekor sahaja, tahun ini ada rezeki lebih dapat lima ekor. Ini kali pertama jadi macam ni dan kami pun ambil iktibar,” katanya.

Terdahulu, video berdurasi 38 saat yang memaparkan insiden itu tular di media sosial dan mencetuskan pelbagai reaksi ramai termasuk dakwaan kononnya ada individu cedera dan dihantar ke hospital. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN