Tiga lelaki termasuk polis bantuan didakwa pukul pemandu lori 

Tiga lelaki termasuk polis bantuan didakwa pukul pemandu lori 

TANGKAP layar video kejadian pemandu lori yang dipukul polis bantuan dan buruh di kawasan Pangkalan Bekalan Kemaman di Kemaman, Terengganu pada hujung Mei lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN : Dua polis bantuan dan seorang buruh di sebuah syarikat swasta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, semalam, atas pertuduhan memukul seorang pemandu lori, bulan lalu. 

Ketiga-tiga tertuduh, Che Muhammad Firdhaus Che Zamri, 29, W. Muhammad Sharil Azizul W. Ahmad, 26, dan Mohd. Hafiz Mohd Arifin, 38, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara bersama di hadapan Hakim Wan Suhaila Mohd. 

Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh telah bersama-sama dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Mohammad Faiz Sedi, 30, dengan menggunakan tangan. 

Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 11.30 pagi pada 29 Mei lalu, di kawasan Pangkalan Bekalan Kemaman (KSB), di sini. Ketiga-tiga lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 324 kanun yang sama. 

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara hingga setahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Wan Suhaila membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin sebanyak RM1,500 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan tertuduh tidak boleh mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Kes akan disebut semula pada 14 Julai depan di Mahkamah Majistret. Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lim Zhan Yi. 

Terdahulu, tular dalam media sosial, sebuah rakaman video berdurasi 0.32 saat yang memaparkan pemandu lori itu dipukul beberapa individu. Difahamkan, kejadian itu tercetus apabila pemandu lori enggan bekerjasama untuk tidak menggunakan telefon bimbit ketika memandu dan turut mengeluarkan kata-kata kesat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN